Program ‘Mobile Service To You’ Dekati Rakyat, Permudah Akses Bantuan Kerajaan
SIMANGGANG: Usaha mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat terus diperkukuh menerusi Program ‘Mobile Service To You’.
Progran anjuran Pergerakan Pemuda dan Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Simanggang itu berlangsung di Market Terbuka Sri Aman, pada Ahad.
Program berkenaan bertujuan memudahkan rakyat, khususnya di peringkat akar umbi, mendapatkan maklumat serta bantuan berkaitan pelbagai skim dan inisiatif kerajaan tanpa perlu berurusan di kaunter rasmi.
Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk bantuan pendaftaran Sarawak Pay, Kenyalang Gold Card (KGC) serta penerangan berkaitan insentif MyKasih dan Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB).
Menerusi program ini, seorang individu berjaya didaftarkan bagi Sarawak Pay manakala lima lagi untuk KGC, selain menjawab pelbagai pertanyaan berkaitan bantuan kerajaan.
Program seumpamanya dirancang diteruskan di beberapa lokasi lain sekitar Sri Aman sebagai usaha berterusan membantu rakyat mendaftar serta memahami pelbagai bantuan kebajikan yang disediakan kerajaan.
Turut hadir menyaksikan pelaksanaan program ialah Pengerusi SUPP Cawangan Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis, yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak. - EDISI UKAS