Karnival Sukan SABERKAS Stakan Satukan 16 Kampung, Perkukuh Silaturahim Belia
KOTA SAMARAHAN: Karnival Sukan SABERKAS (KASUS) Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah anjuran SABERKAS Cawangan Stakan telah berjaya menyatukan 16 buah kampung sekaligus memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan belia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim, menegaskan bahawa penganjuran program seumpama itu bukan sekadar pertandingan sukan, sebaliknya menjadi medan penting untuk menyatukan masyarakat pelbagai kaum dan kampung dalam kawasan DUN Stakan.
Menurut beliau, usaha menghimpunkan sebanyak 16 pasukan daripada unit SABERKAS bukanlah satu tugas mudah dan kejayaan penganjuran program tersebut wajar diberi pujian kerana mampu mengumpulkan belia daripada pelbagai latar belakang dalam suasana harmoni dan kekeluargaan.
“Menang atau kalah bukan ukuran utama. Kejayaan sebenar ialah apabila kita dapat berkumpul, bekerjasama dan memperkukuh tali silaturahim sesama kita. Itulah semangat yang perlu kita pelihara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian, di sini, pada Ahad.
Tambah beliau lagi, aktiviti sukan dan program komuniti menjadi platform utama menyatukan anak muda dari pelbagai kawasan di Sarawak, sekali gus membentuk semangat kepimpinan, kesukarelawanan dan perpaduan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Karnival Sukan SABERKAS dijadikan acara tahunan dan memberi jaminan sokongan berterusan termasuk dari segi peruntukan serta bantuan penganjuran demi memastikan penglibatan belia terus diperkasa.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai usaha menaik taraf kemudahan sukan di kawasan DUN Stakan, termasuk Padang Bola Sepak Kampung Quop yang telah diluluskan di bawah projek berkaitan, dan kini menunggu pelaksanaan oleh agensi pelaksana.
“Selagi saya diberi amanah sebagai wakil rakyat, saya akan terus menyokong golongan belia tanpa mengira latar belakang kerana saya sendiri memahami keperluan dan aspirasi anak muda,” tambahnya.
Sebagai simbolik perasmian, Datuk Hamzah telah melakukan sepak mula bagi menandakan pembukaan rasmi Karnival Sukan SABERKAS Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah yang menyaksikan penyertaan 16 pasukan dari unit SABERKAS dalam kawasan DUN Stakan.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Afiq Fikri Brahim, Ketua Kaum Kampung Quop Dayak Bonita Andrew, Timbalan Ketua PBB Cawangan DUN Stakan Tuah Jini serta Ketua Wanita PBB Cawangan DUN Stakan Lela Adini. -EDISI UKAS