Projek Pembangunan Semula Bukit Assek Dijangka Bermula Tahun Ini
SIBU: Projek pembangunan semula Bukit Assek dijangka dapat dimulakan pada tahun ini, selari dengan aspirasi pembangunan bandar yang lebih mampan dan berdaya maju di Sibu.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, berkata projek berkenaan merupakan antara inisiatif pembangunan bandar terbesar di Sarawak dengan keluasan kira-kira 800 ekar yang bakal membawa perubahan besar kepada landskap ekonomi dan sosial bandar Sibu.
“Selepas empat tahun kajian, tinjauan dan perancangan, saya berharap pada tahun 2026 projek ini akhirnya dapat dilancarkan dan beberapa fasa pembangunannya dapat dimulakan bagi menyambut tahun baharu.
“Saya percaya ini merupakan salah satu anugerah terbesar daripada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kepada rakyat Sibu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian dan Upacara Menghidupkan Mata Singa (Lion Eye-Dotting) di Tokong Datuk Kong pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata, pelaksanaan projek berkenaan membolehkan bandar Sibu melangkah ke satu bab baharu pembangunan ekonomi di wilayah tengah di sini.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai projek naik taraf infrastruktur di kawasan Pelawan yang kini menunjukkan perkembangan memberangsangkan.
Menurutnya, projek naik taraf Jalan Ling Kai Cheng dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir bulan ini, manakala Jalan Ulu Sungai Merah pula akan siap pada awal Mei
"Langkah ini akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta meningkatkan keselesaan pengguna jalan raya, khususnya selepas sesi persekolahan bermula,” ujarnya. -EDISI UKAS