KAPIT: Kebajikan dan keselesaan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Bahagian Kapit terus diperkasa menerusi perasmian kanopi dan anjung Wisma Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Kapit pada Sabtu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat merakamkan penghargaan kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Kapit atas kejayaan melaksanakan projek penambahbaikan kemudahan Wisma Veteran tersebut.
Menurut beliau, pembinaan kanopi dan anjung berkenaan bukan sahaja meningkatkan tahap keselesaan ahli-ahli veteran, malah menjadikan Wisma Veteran sebagai pusat perhimpunan dan kebajikan yang lebih kondusif.
"Kerajaan Sarawak sentiasa komited menyokong kebajikan veteran melalui pelbagai inisiatif termasuk bantuan kemudahan dan pemberian geran kepada PVATM Kapit," katanya.
Beliau turut menegaskan jasa dan pengorbanan besar veteran ATM dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara serta memupuk semangat patriotisme dan perpaduan masyarakat.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Watson Awan Jalai, Residen Bahagian Kapit Elvis Didit, Pegawai Daerah Kapit Thomas Geoffrey Kendawang ahli-ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Kapit serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS