KUCHING: Golongan wanita di Kampung Segu Bunuk diseru agar terus mengubah minda, bersikap proaktif dan berani merebut peluang ekonomi baharu sejajar dengan perubahan zaman dan aspirasi pembangunan Sarawak ke arah negeri berpendapatan tinggi.
Seruan itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil ketika merasmikan Majlis Ramah Tamah Tahun Baharu 2026 anjuran Biro Hal Ehwal Wanita Kampung Segu Bunuk hari ini.
Menurut beliau, penganjuran majlis berkenaan yang julung kali diadakan di hotel mencerminkan perubahan pemikiran serta keterbukaan masyarakat setempat, khususnya golongan wanita, dalam menerima pembaharuan dan kemajuan.
“Perubahan cara berfikir dan kesediaan untuk menyesuaikan diri dengan arus semasa amat penting bagi meningkatkan kesejahteraan keluarga serta pembangunan kampung. Wanita memainkan peranan besar bukan sahaja dalam mengurus keluarga, malah turut menyumbang kepada ekonomi komuniti dan pembangunan sosial,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan perpaduan masyarakat kampung yang terdiri daripada beberapa penempatan agar terus bersatu dari segi semangat, tekad dan hala tuju pembangunan, selain mengiktiraf peranan Biro Hal Ehwal Wanita sebagai penggerak utama di peringkat akar umbi.
Dalam pada itu, Datuk Dr. Jerip menggesa golongan wanita supaya memanfaatkan teknologi dan pendekatan moden dalam kehidupan serta aktiviti ekonomi bagi memastikan mereka kekal relevan dan berdaya saing, selaras dengan sasaran Kerajaan Sarawak untuk mencapai pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya RM14,000 sebulan.
Beliau turut memaklumkan bahawa kawasan ini bakal dikenali sebagai Sarawak Delta Geopark bermula Jun ini, sekali gus membuka peluang besar dalam sektor pelancongan yang boleh dimanfaatkan melalui perusahaan kecil dan sederhana, produk tempatan serta perkhidmatan sokongan pelancongan.
Sebagai sokongan kepada usaha berterusan biro berkenaan, beliau meluluskan peruntukan Projek Geran Khas (MRP) berjumlah RM30,000 kepada Biro Hal Ehwal Wanita Kampung Segu Bunuk bagi memperkasa pelaksanaan program dan aktiviti komuniti. - EDISI UKAS