Ahli Parlimen Betong Tinjau Cadangan Penyediaan Ruang Menunggu Ibu Bapa di SMK Saribas
DEBAK: Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu telah mengadakan sesi lawatan dan tinjauan tapak ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas, di sini, pada Jumaat.
Lawatan tersebut diadakan bersama pihak Majlis Daerah Betong susulan permintaan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Saribas bagi mencadangkan penyediaan ruang menunggu ibu bapa di kawasan sekolah berkenaan.
Menurut Dato Dr Richard, tinjauan tapak berkenaan bertujuan menilai kesesuaian lokasi yang dicadangkan serta mengenal pasti keperluan kemudahan yang perlu disediakan, khususnya bagi meningkatkan aspek keselamatan, keselesaan dan kelancaran pergerakan ibu bapa, terutama pada waktu puncak persekolahan.
"inisiatif penyediaan ruang menunggu ibu bapa adalah penting bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih teratur dan mesra komuniti, selain membantu mengurangkan kesesakan serta risiko keselamatan di kawasan sekolah," katanya.
Beliau berharap cadangan tersebut dapat direalisasikan melalui kerjasama semua pihak berkaitan demi memperkukuh kemudahan pendidikan di kawasan Betong, selaras dengan komitmen berterusan untuk meningkatkan kesejahteraan warga sekolah dan komuniti setempat. -EDISI UKAS