ADUN Stakan Tinjau Jambatan Kampung Quop, Simbol Keprihatinan Kerajaan Kerjasama Komuniti
STAKAN: Keprihatinan terhadap keselamatan dan kebajikan penduduk luar bandar terus menjadi keutamaan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim mengadakan lawatan ke jambatan Kampung Quop yang sebelum ini runtuh akibat kejadian tanah susur pada September 2023.
Jambatan yang sebelum ini runtuh akibat tekanan beban berlebihan lori bermuatan berat pada September 2023 kini siap dibina semula dan kembali digunakan oleh penduduk hasil kerjasama strategik antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat.
Lawatan tersebut bertujuan meninjau keadaan semasa jambatan yang menjadi laluan utama penduduk kampung selepas ia berjaya disiapkan sepenuhnya pada Januari 2026 hasil kerjasama pelbagai pihak, termasuk sumbangan sektor swasta dan semangat gotong-royong komuniti setempat.
Sementara itu, Datuk Hamzah berkata, kejadian runtuhan jambatan berkenaan sebelum ini telah menjejaskan pergerakan harian penduduk, khususnya melibatkan urusan persekolahan, ekonomi dan kecemasan, sekali gus menuntut tindakan segera demi keselamatan rakyat.
Menurut beliau, usaha membaik pulih dan membina semula jambatan tersebut dapat direalisasikan melalui sumbangan berjumlah RM50,000 daripada sebuah syarikat swasta, di samping penglibatan aktif Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Quop Dayak yang berganding bahu melaksanakan kerja-kerja gotong-royong.
“Ini membuktikan bahawa apabila kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat bekerjasama, sesuatu masalah dapat diselesaikan dengan lebih pantas dan berkesan. Jambatan ini bukan sekadar struktur fizikal, tetapi nadi kehidupan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui semasa lawatan berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya penduduk Kampung Quop Dayak yang sanggup menyumbang tenaga dan masa demi memastikan kemudahan asas ini dapat digunakan semula oleh orang ramai.
Lawatan tersebut turut disertai Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Afiq Fikri Brahim, serta Ketua Kaum Kampung Quop, Bonita Andrew, yang bersama-sama menzahirkan komitmen berterusan dalam memastikan pembangunan infrastruktur luar bandar sentiasa diberi perhatian.
Dalam pada itu, Datuk Hamzah menegaskan bahawa kerajaan Sarawak akan terus memantau keperluan infrastruktur di kawasan Stakan agar keselamatan dan kesejahteraan penduduk sentiasa terjamin, selaras dengan agenda pembangunan seimbang yang menekankan kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.
Siapnya jambatan Kampung Quop ini sekali gus menjadi bukti kejayaan pendekatan kerjasama strategik antara pemimpin, komuniti dan pihak swasta dalam merealisasikan pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.- EDISI UKAS