"Rise Of The True King Jr" Angkat Seni Pentas Bahasa Inggeris di Sarawak
KUCHING: Pementasan teater “Rise Of The True King Jr” yang menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris disifatkan sebagai satu usaha berani dan progresif dalam memperkasa budaya seni pentas di Sarawak, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada penglibatan serta pembangunan bakat generasi muda dalam bidang seni persembahan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, pendekatan berkenaan bukan sahaja memperkayakan variasi persembahan pentas, malah berpotensi merangsang penganjuran lebih banyak produksi berkualiti pada masa hadapan, termasuk menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium persembahan.
“Ini adalah satu percubaan yang sangat berani. Walaupun pernah ada persembahan sebelum ini, pementasan kali ini memberi peluang besar untuk dianjurkan lagi pada masa akan datang dan digalakkan penggunaan bahasa Inggeris,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa menghadiri pementasan teater berkenaan di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini pada Ahad.
Beliau menambah, penglibatan kanak-kanak dan belia seawal peringkat sekolah rendah dalam persembahan pentas merupakan satu pendekatan positif yang wajar dialu-alukan dan disokong secara berterusan.
Jelas beliau, usaha tersebut selari dengan hala tuju Sarawak sebagai sebuah negeri yang memberi penekanan serius terhadap pembangunan budaya dan aktiviti seni pentas.
“Sarawak sedang menuju ke arah memperkasakan budaya dan aktiviti pentas, lebih-lebih lagi dengan perancangan menyiapkan pusat seni di Dewan Undangan Negeri Lama dalam tempoh dua tahun akan datang, yang dijangka menjadi antara pusat seni terbesar di Malaysia,” katanya.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa generasi muda yang terlibat dalam pementasan tersebut berpotensi besar untuk membuat persembahan di pusat seni berkenaan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Datuk Abdullah merakamkan penghargaan kepada pengarah teater serta seluruh pasukan produksi, termasuk barisan di belakang tabir yang turut terdiri daripada golongan muda.
Selain sokongan kerajaan dan agensi berkaitan, beliau menegaskan keperluan sokongan dana bagi memastikan kelangsungan produksi seni pentas berkualiti tinggi di Sarawak.
“Persembahan pentas seperti ini memerlukan sokongan menyeluruh, termasuk sokongan dana. Saya berharap usaha memberi sokongan kepada produksi sebegini dapat diteruskan,” katanya.
Pementasan teater “Rise Of The True King Jr” merupakan antara inisiatif seni yang menampilkan bakat muda tempatan dan mencerminkan komitmen Sarawak dalam melahirkan generasi baharu yang berdaya saing dalam bidang seni persembahan.-EDISI UKAS