PERKIM Limbang Terus Aktif Perkasa Syiar Islam Melalui Pelbagai Program Komuniti
LIMBANG:Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Limbang terus aktif memperkasa syiar Islam di peringkat komuniti menerusi pelaksanaan pelbagai program dakwah dan kebajikan secara berterusan, sekali gus menjadikan pertubuhan itu antara yang aktif di Sarawak dalam membantu masyarakat Islam setempat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata pelbagai program dilaksanakan PERKIM terbukti memberi manfaat dalam menegakkan serta memperkukuh syiar Islam, khususnya di Daerah Limbang.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen PERKIM Cawangan Limbang yang berjaya melaksanakan tanggungjawab sepanjang sesi lalu.
“Tahniah kepada PERKIM Limbang kerana berjaya melaksanakan amanah bagi sesi 2025/2026 dengan merancang pelbagai program sepanjang tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-36 PERKIM Cawangan Limbang bagi tahun 2026 di Dewan Kampung Bunga Raya, di sini pada Ahad.
Menurut beliau, PERKIM berperanan sebagai rakan strategik kepada Jabatan Agama Islam Sarawak menerusi pelaksanaan aktiviti kebajikan, pendidikan, dakwah dan pembangunan masyarakat yang melengkapi usaha kerajaan dalam memperkasa institusi Islam.
Tambahnya, bagi tahun 2026, PERKIM Cawangan Limbang bersetuju meneruskan program yang dilaksanakan pada tahun sebelumnya dengan penambahbaikan bagi memperluas impak kepada lebih ramai kumpulan sasaran.
“Pada tahun lalu, PERKIM Cawangan Limbang menerima sumbangan dana RM50,000 daripada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan. Selain itu, saya selaku ADUN Bukit Kota turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM50,000,” katanya.
Beliau turut memaklumkan perancangan pembinaan bangunan PERKIM Limbang akan dilaksanakan setelah urusan tanah diselesaikan sepenuhnya.
Peruntukan RM500,000 yang telah diluluskan masih belum digunakan, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta berbincang dengan pihak PERKIM berhubung keperluan asas bangunan, dengan anggaran kos pembinaan sekitar RM1.5 juta.
Turut hadir Pengerusi PERKIM Cawangan Limbang, Datin Dayang Maimunah Awang Muhammad Daud, Pemanca Sahat Bagol, Penghulu Jamil Abu Bakar, Penghulu Latip Tujoh, Penghulu Zahedi Asol, Penghulu Ahmad @ Naim Mail serta Ketua Kampung Bunga Raya, Adenan Hamdan.-EDISI UKAS