ADUN Mulu Pastikan Projek Jalan Spur Long Atip–Long Bedian Mengikut Spesifikasi
MULU: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala mengadakan lawatan tinjauan ke projek pembinaan Jalan Spur Long Atip–Long Bedian yang dilaksanakan di bawah seliaan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (Highland Development Agency, HDA).
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu berkata, lawatan tersebut bertujuan memastikan pelaksanaan projek mematuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan selain menilai tahap kemajuan kerja agar selari dengan jadual pelaksanaan yang telah diluluskan.
Menurut beliau, pemantauan secara berkala amat penting bagi menjamin setiap projek pembangunan infrastruktur luar bandar dilaksanakan secara berkesan dan berkualiti, sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat.
“Projek seperti ini bukan sahaja meningkatkan tahap perhubungan, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat di kawasan pedalaman, khususnya di sekitar Mulu dan Telang Usan,” katanya semasa lawatan berkenaan di sini pada Ahad.
Lawatan tersebut turut disertai Pengarah Wilayah HDA, Juan Ubit serta Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Bario, Richard Usah.
Dalam pada itu, Datuk Gerawat merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan projek berkenaan dan berharap kerja-kerja pembinaan dapat disiapkan mengikut perancangan demi kesejahteraan rakyat.
Rombongan kemudiannya meneruskan perjalanan ke Long Lellang bagi meneruskan lawatan kerja rasmi di kawasan berkenaan.-EDISI UKAS