Projek IRSDA Tingkat Kecekapan Sistem Saliran Di Gedong
GEDONG: Penyerahan tapak bagi projek siap Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan sungai dan sistem perparitan di Zon Pangkor, Daerah Gedong telah dilaksanakan pada Isnin.
Projek tersebut merupakan langkah proaktif bagi menangani masalah banjir serta meningkatkan kecekapan sistem saliran di kawasan terlibat.
Ia menelan kos sebanyak RM824,095 dan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan bermula 19 Ogos 2025 hingga 19 Februari 2026.
Projek tersebut melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan sungai di empat kampung iaitu Kampung Benat, Kampung Lubok Punggor, Kampung Sateman dan Kampung Sabang dengan jumlah keseluruhan panjang kerja mencecah 23.231 kilometer.
Untuk Kampung Benat, skop projek merangkumi kerja-kerja pembersihan dan pengorekan mendapan (clearing and desilting) sepanjang 9.166 kilometer bagi memastikan aliran air lebih lancar serta mengurangkan risiko banjir.
Selain itu, sebuah pembetung paip HDPE lengkap dengan pintu flap sepanjang lapan meter akan dibina bagi mengawal aliran air serta mencegah kemasukan air pasang.
Sementara itu, di Kampung Lubok Punggor, kerja-kerja pembinaan benteng undur (retreat bund) sepanjang 375 meter akan dilaksanakan bagi melindungi kawasan kampung daripada limpahan air dan hakisan.
Projek ini turut melibatkan pembinaan tiga penutupan anak sungai (creek closure) serta kerja-kerja pembersihan dan pengorekan mendapan sepanjang 9.865 kilometer bagi meningkatkan keberkesanan sistem perparitan.
Bagi Kampung Sateman pula, tumpuan diberikan kepada kerja-kerja pembaikan pintu flap sedia ada bagi memastikan sistem kawalan aliran air berfungsi dengan lebih berkesan.
Manakala di Kampung Sabang, kerja-kerja pembersihan dan pengorekan mendapan sepanjang 4.2 kilometer akan dilaksanakan bagi memperbaiki sistem saliran dan mengurangkan risiko banjir.
Pelaksanaan projek ini dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat dengan meningkatkan kecekapan sistem saliran mengurangkan risiko banjir serta menyokong pembangunan mampan di kawasan Zon Pangkor di Daerah Gedong.
Turut hadir dalam lawatan tersebut, Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Samarahan Superdi Sarkawi, Wakil Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) Chua Wey Lin, Pegawai Daerah Gedong Jamain Wahab, Wakil Pusat Khidmat N.26 Gedong Awang Abdul Rahman Awang Hamid, Ketua Kampung Lubok Punggor Zakaria Lasit dan Wakil Darulnizam Enterprise. -EDISI UKAS