AirBorneo Dicadang Sebagai Syarikat Penerbangan Rasmi Sukan SEA 2027 Di Sarawak
KUCHING: AirBorneo dicadangkan sebagai syarikat penerbangan rasmi Sukan SEA 2027, khususnya bagi menyokong acara-acara yang akan berlangsung di Sarawak.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, cadangan tersebut telah disuarakan dalam mesyuarat perancangan awal penganjuran temasya sukan berkenaan memandangkan majlis pembukaan Sukan SEA 2027 dijadualkan berlangsung di Sarawak.
Menurut beliau, walaupun AirBorneo masih berada dalam fasa awal operasi ketika perbincangan tersebut diadakan, kerajaan negeri berharap sekurang-kurangnya sebuah pesawat jet milik syarikat penerbangan itu dapat tersedia menjelang September 2027.
“Walaupun belum dijadualkan untuk penerbangan komersial sepenuhnya, pesawat berkenaan boleh digunakan secara penerbangan sewaan (charter flight) dengan membawa penjenamaan AirBorneo bagi tujuan rasmi temasya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menerima kunjungan hormat pengurusan AirBorneo yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin, di sini pada Isnin.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu menambah, hasrat tersebut selari dengan perancangan kerajaan negeri untuk memperluaskan operasi AirBorneo daripada Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) kepada penerbangan domestik dan serantau, termasuk ke Semenanjung Malaysia dan Asia Tenggara.
Dato Sri Abdul Karim turut memaklumkan, sekurang-kurangnya tiga pesawat jet disasar diperoleh dalam tempoh setahun akan datang, bergantung kepada ketersediaan pesawat untuk pembelian atau sewaan dalam industri penerbangan global yang kini berdepan kekangan bekalan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Gabriel Rommy