PIBU Beluru Pemangkin Lahirkan Generasi Usahawan Luar Bandar Berdaya Saing
BELURU: Penubuhan Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan (PIBU) Beluru bakal menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi luar bandar dengan membuka lebih banyak peluang keusahawanan khususnya kepada golongan belia setempat.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil berkata penubuhan PIBU di Daerah Beluru selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk memperkasa pembangunan sosioekonomi luar bandar melalui inovasi, keusahawanan dan ekonomi digital.
“PIBU ini akan memastikan masyarakat tempatan, khususnya usahawan muda dan bakal kontraktor, memiliki lesen perniagaan sah, berdaftar dengan agensi kerajaan serta berpeluang menikmati pelbagai bantuan termasuk geran dan skim pembiayaan,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Pusat Ikubator dan Bimbangan Usahawan (PIBU) di sini pada Isnin.
Beliau turut menegaskan bahawa generasi muda di Beluru perlu berani meneroka bidang keusahawanan moden seperti kontraktor, e-dagang dan perkhidmatan digital agar tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada sektor ekonomi tradisional.
Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Kontraktor dan Pembekal Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Jim Apoi berkata, objektif utama PIBU adalah menyediakan kemudahan pejabat sementara secara percuma kepada bakal kontraktor dan usahawan bagi memudahkan urusan pendaftaran syarikat serta pengurusan lesen perniagaan.
Majlis tersebut turut menyaksikan perasmian Kursus Pembangunan Kontraktor dan Usahawan Berkualiti dan Berdaya Saing yang melibatkan seramai 76 peserta, bertujuan meningkatkan kemahiran pengurusan, kewangan, pemasaran serta profesionalisme dalam dunia keusahawanan semasa.
Turut hadir Pegawai Daerah Beluru, Charles Aloysius Lisu, Ketua Bahagian Industri dan Pembangunan, Sapuan Mawi, Pengerusi Majlis Daerah Marudi Kaunselor Edward Mendai serta ketua-ketua jabatan daerah.-EDISI UKAS