MPKS Perketat Penguatkuasaan Terhadap Kenderaan Terbiar Di Taman Desa Ilmu
KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) terus memperkukuh penguatkuasaan undang-undang tempatan apabila Bahagian Penguat Kuasanya melaksanakan Operasi Kenderaan Terbiar di sekitar kawasan komersial Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan.
Operasi pada Isnin berkenaan dijalankan susulan tamatnya tempoh notis amaran selama tujuh hari yang telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan terlibat, namun didapati tiada sebarang tindakan susulan diambil dalam tempoh yang ditetapkan.
Keadaan tersebut bukan sahaja menjejaskan imej kawasan perbandaran, malah mengganggu kelancaran penggunaan ruang letak kenderaan awam.
Sehubungan itu, MPKS mengambil tindakan tegas dengan melaksanakan sitaan dan penundaan terhadap kenderaan yang gagal mematuhi arahan serta notis yang telah dikeluarkan sebelum ini.
Kesemua kenderaan yang disita akan ditempatkan sementara di perkarangan Pejabat MPKS bagi tujuan rekod dan pemeriksaan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Menurut MPKS, operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah berterusan memastikan persekitaran awam sentiasa bersih, selamat dan teratur, selain menjamin ruang letak kenderaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang awam.
Dalam pada itu, MPKS turut menyeru orang ramai agar sentiasa peka dan mematuhi peraturan yang ditetapkan serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam menjaga kebersihan, keselamatan dan imej kawasan perbandaran Kota Samarahan secara keseluruhan. -EDISI UKAS