Naik Taraf Sistem Perparitan Kampung Sepadah Bermula, Atasi Masalah Saliran Penduduk
BAU: Kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di Kampung Sepadah bakal dimulakan dalam masa terdekat bagi mengatasi isu saliran yang telah lama dihadapi penduduk kampung berkenaan.
Projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM180,000 itu telah dimulakan secara rasmi menerusi sesi ringkas penyerahan tapak projek yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, di Kampung Sepadah, pada Isnin.
Projek tersebut melibatkan kerja-kerja menaiktaraf sistem perparitan sedia ada daripada parit tanah kepada parit konkrit di tiga lokasi strategik dalam kampung berkenaan, sekali gus bertujuan memperbaiki aliran saliran dan mengurangkan risiko masalah banjir serta hakisan yang sering dihadapi penduduk setempat.
Berucap dalam majlis tersebut, Billy Sujang berharap agar projek tersebut dapat dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan serta disiapkan mengikut jadual, selain memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat Kampung Sepadah khususnya dalam menyelesaikan isu perparitan yang telah lama dibangkitkan oleh penduduk.
“Kerja menaiktaraf ini amat penting bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan penduduk kampung, terutama ketika musim hujan. Saya berharap kerjasama semua pihak dapat memastikan projek ini berjalan lancar,” katanya. -EDISI UKAS