Dato Rolland Duat Turun Padang Dengari Suara Rakyat
JULAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkesempatan menghadiri Program Santai bersama penduduk Rumah Jentang Janting di Batu 17, Sungai Jikang, di sini pada Ahad bagi mendengar dan memberi perhatian terhadap suara rakyat dan keperluan masyarakat setempat.
Menurut beliau, walaupun program tersebut dianjurkan dalam suasana ringkas dan santai, ia sebenarnya menjadi platform terbaik untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, di samping membolehkan perkongsian maklumat serta pertukaran pandangan dilakukan secara terus.
“Melalui program seperti ini, kita dapat mendengar sendiri isu dan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk setempat tanpa sebarang kekangan,” katanya.
Jelasnya, antara isu utama yang dibangkitkan oleh penduduk ialah masalah gangguan bekalan air yang kerap berlaku di kawasan tersebut.
“Saya telah mengambil maklum perkara ini dan berharap dengan siapnya kerja-kerja naik taraf Loji Air Julau, bekalan air di kawasan ini dapat dipertingkatkan serta menjadi lebih stabil pada masa akan datang,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Dato Rolland merakamkan ucapan syabas dan terima kasih kepada penduduk Rumah Jentang atas komitmen serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program berkenaan.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Brian Fung, Pegawai Daerah Julau Minggu Jampong, Pengerusi Terabai Menua Sarawak Thomas Jagan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta penduduk sekitar.-EDISI UKAS