Rumah Panjang Selunsin Terima Bantuan Kecemasan SDMC
PAKAN: Sebanyak RM770,000 peruntukan khas disalurkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) sebagai bantuan kecemasan kepada 11 pintu Rumah Panjang Selunsin yang terjejas akibat insiden kebakaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata bantuan tersebut merupakan inisiatif kecemasan yang jarang dilaksanakan sebelum ini.
“Bantuan ini bertujuan menyediakan pembinaan asas kediaman dan bukan pinjaman perumahan, sekali gus membolehkan mangsa kebakaran mempunyai tempat tinggal sementara yang lebih selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan kunci Rumah Baru Rumah Panjang Selunsin di sini, pada Isnin.
Tambah beliau, kerjasama pelbagai agensi amat penting dalam memastikan bantuan kecemasan dapat disalurkan dengan pantas dan berkesan ketika berlakunya bencana.
“Saya merakamkan setinggi - tinggi penghargaan kepada Pejabat Residen, Pejabat Daerah serta agensi - agensi berkaitan yang telah bertindak awal memberikan bantuan di lokasi kejadian,” jelasnya.
Tegasnya, masyarakat setempat memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan, khususnya dalam memantau golongan warga emas dan orang tua bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.
Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Sarikei Badjuri Bidin, wakil Pejabat Daerah serta tetamu lain.-EDISI UKAS