MSIA Sedia Bantu Sarawak Capai Aspirasi Jadi Hab Baharu Industri Semikonduktor
KUCHING: Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) menyatakan kesediaan untuk membantu Sarawak merealisasikan aspirasi negeri itu muncul sebagai hab baharu industri semikonduktor, selari dengan potensi dan kelebihan strategik yang dimiliki negeri ini.
Presiden MSIA, Dato’ Seri Wong Siew Hai berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengetuai satu misi industri ke Sarawak bagi memberi pendedahan langsung kepada pemain industri mengenai keupayaan negeri ini, sekali gus membina keyakinan syarikat-syarikat untuk meneroka peluang pelaburan jangka panjang.
“MSIA merasakan kami mempunyai tanggungjawab untuk membantu negara dan negeri Sarawak yang beraspirasi menjadi salah satu hab semikonduktor penting di peringkat global.
“Peluang itu sememangnya ada untuk direalisasikan,” katanya ketika ditemui media selepas perbincangan MSIA bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sini pada Isnin.
Menurutnya, penglibatan pemain industri secara langsung melalui lawatan tapak dan sesi libat urus penting bagi memastikan pemahaman menyeluruh terhadap ekosistem Sarawak, termasuk dari segi infrastruktur, bekalan tenaga dan sokongan kerajaan negeri.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa pertumbuhan pesat industri semikonduktor global membuka ruang luas kepada Sarawak untuk mengambil bahagian secara aktif dalam rantaian nilai industri berkenaan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan negara.
“MSIA bersedia berkongsi pengalaman industri dan kepakaran yang dimiliki bagi menyokong aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai hab baharu industri semikonduktor,” tambahnya.