Pengagihan Wang Ihsan Kepada 219 Pemilik Rumah Terjejas Projek Pembetungan Petra Jaya Dilaksana Berdasarkan Data JKKK
KUCHING: Pengagihan wang ihsan kepada 219 pemilik rumah yang terjejas akibat projek pembetungan di kawasan Petra Jaya dilaksanakan berdasarkan penama pemilik rumah ketika data dikumpulkan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) selepas peruntukan diluluskan sekitar Oktober 2022.
Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Ir Irwan Zulkarnain Dato Muhammad Hasbie berkata, peruntukan tersebut diperoleh hasil usaha Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Amar Fadillah Yusof yang telah membawa isu berkenaan kepada perhatian Kerajaan Persekutuan.
“Pemberian wang ihsan berkenaan dapat direalisasikan selepas Datuk Amar Fadillah Yusof bukan sahaja telah menyuarakan isu berkenaan kepada Kerajaan Pusat, malah telah membawa Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri untuk melawat sendiri kediaman mangsa-mangsa terlibat di Kampung Tunku pada Oktober 2021.
“Susulan lawatan berkenaan, Datuk Seri Ismail
Sabri telah meluluskan peruntukan wang ihsan pada tahun berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Mengulas dakwaan seorang pengadu yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan pada 17 Januari 2026 yang mendakwa belum menerima wang ihsan, beliau menjelaskan bahawa JKKK Kampung Tunku telah dipertanggungjawabkan untuk mengumpul butiran pemilik rumah terlibat bagi tujuan pembayaran.
Katanya, proses berkenaan melibatkan lawatan ke setiap rumah terjejas bagi mendapatkan maklumat nama pemilik dan akaun bank seperti yang ditetapkan oleh Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) Sarawak sebagai prosedur pembayaran.
Beliau juga memaklumkan bahawa pemilik asal rumah yang terjejas di kawasan berkenaan telah membuat tuntutan bagi mendapatkan pampasan sejak 2018 lagi daripada pihak kontraktor.
Ir Irwan Zulkarnain menambah, dalam kes pengadu berkenaan, individu tersebut telah membeli rumah daripada pemilik asal dengan proses pertukaran hak milik disempurnakan pada 14 Disember 2022.
Ujarnya, peruntukan wang ihsan untuk pemilik rumah yang terjejas, telah diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan pada Oktober 2022 dan proses pengumpulan butiran penerima oleh JKKK telah dilaksanakan sebelum tarikh pertukaran nama tersebut.
“Difahamkan pengadu telah membeli rumah berkenaan tanpa mengetahui mengenai
wang ihsan berkenaan, dengan penyempurnaan pertukaran nama rumah berlaku pada 14 Disember 2022.
“Ketika itu semua data penerima wang ihsan telah dikemukakan kepada SDO untuk tujuan
pengeluaran cek dengan cek telah diagihkan pada Januari 2023,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pegawai Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya telah beberapa kali berjumpa dengan pengadu sejak tahun 2023 bagi menjelaskan keadaan sebenar, dan pengadu pada ketika itu mengakui serta memahami situasi berkenaan.
Menurutnya lagi, Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya bertindak sebagai pemudah cara dalam menyelaras peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, manakala JKKK membantu menyediakan dokumen berkaitan untuk dikemukakan kepada SDO Sarawak bagi urusan pengeluaran cek.
Berhubung laporan polis yang dibuat oleh pengadu pada tahun 2024, beliau berkata semua pihak berkaitan termasuk Pusat Khidmat, SDO dan JKKK telah memberi keterangan kepada pihak polis pada tahun lalu, namun didapati tiada kes untuk diteruskan.-EDISI UKAS