Had Umur Permohonan 15A Diturunkan Kepada 18 Tahun, Tangani Isu Anak Tidak Sah Taraf Lebih Awal
KUCHING: Keputusan Kerajaan Persekutuan menurunkan had umur permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan daripada 21 tahun kepada 18 tahun yang berkuat kuasa Jun 2026 menuntut tindakan lebih proaktif daripada ibu bapa dan penjaga khususnya dalam menangani kes anak tidak sah taraf di Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, perubahan dasar berkenaan memberi implikasi langsung terhadap ribuan permohonan kewarganegaraan yang diterima setiap tahun dengan kategori anak tidak sah taraf terus mencatatkan jumlah tertinggi.
“Anak tidak sah taraf lazimnya dilahirkan sebelum perkahwinan ibu bapa didaftarkan secara sah atau melibatkan pasangan warga asing.
"Dalam situasi ini, anak akan mengikut kewarganegaraan ibu dan sekiranya ibu bukan warganegara, permohonan kewarganegaraan anak perlu dibuat di bawah Perkara 15A,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Endowment Funds Sarawak (EFS) dan Bantuan Ibu Bersalin Tahun 2026 pada Isnin.
Dato Sri Fatimah menambah, jawatankuasa khas yang ditubuhkan khusus untuk Sarawak itu berperanan sebagai mekanisme pemudah cara bagi memastikan permohonan dikemukakan secara teratur dan memenuhi syarat dokumentasi sebelum diangkat ke Bahagian Kewarganegaraan di Putrajaya.
“Perlu ditegaskan bahawa jawatankuasa ini tidak mempunyai kuasa meluluskan permohonan.
"Keputusan muktamad terletak kepada Menteri Dalam Negeri, namun peranan kami adalah memastikan tiada permohonan dihantar dalam keadaan tidak lengkap atau tidak menepati syarat,” jelasnya.
Mengulas statistik, beliau memaklumkan pada tahun 2024 sebanyak 36 permohonan telah dibentangkan kepada jawatankuasa khas, manakala pada tahun 2025 jumlah tersebut meningkat kepada 63 permohonan dengan sebahagian besar melibatkan kategori anak tak sah taraf, diikuti anak jagaan dan anak angkat.
Sehubungan itu, beliau menyeru peranan aktif ketua masyarakat dan media dalam menyampaikan maklumat tepat kepada komuniti, khususnya di kawasan sempadan dan bandar utama seperti Kuching dan Miri yang mencatatkan jumlah permohonan lebih tinggi.
Dalam majlis sama, Dato Sri Fatimah turut menyampaikan surat kelulusan kewarganegaraan kepada dua penerima, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menangani isu kewarganegaraan secara berperingkat dan berperikemanusiaan.-EDISI UKAS