Sarawak Bersedia Muncul Sebagai Hab Industri Semikonduktor
KUCHING: Sarawak berada pada landasan strategik untuk muncul sebagai hab baharu industri semikonduktor negara susulan perbincangan berimpak tinggi bersama Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan kelebihan Sarawak dari segi kedudukan geografi strategik, kestabilan bekalan tenaga serta persekitaran pelaburan yang kondusif menjadikan negeri ini berpotensi besar menarik pelaburan industri berteknologi tinggi.
“Sarawak berada dalam kedudukan yang baik untuk pembangunan industri semikonduktor.
“Pertama, dari segi lokasi, Sarawak terletak secara strategik di tengah-tengah negara Asia dan tidak jauh dari negara seperti China, India dan Australia.
"Kedua, Sarawak mempunyai bekalan tenaga, khususnya tenaga boleh diperbaharui," katanya ketika ditemui media selepas perbincangan tersebut di sini pada Isnin.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Perindustrian dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak itu menambah, industri semikonduktor dan teknologi tinggi memerlukan bekalan tenaga yang cekap serta stabil, dan keupayaan Sarawak membekalkan tenaga hijau bukan sahaja menyokong keperluan operasi industri, malah memberi nilai tambah tinggi kepada produk yang dihasilkan serta diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Selain itu, kerajaan negeri katanya turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dan kemahiran sebagai persediaan jangka panjang, dengan pendidikan pra-tertiari menjadikan pembangunan teknologi sebagai antara fokus utama tahun ini bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Dalam masa sama jelasnya, penambahbaikan kemudahan perhubungan laut dan udara di kawasan perindustrian dikenal pasti sebagai antara keperluan penting untuk menyokong pertumbuhan industri semikonduktor secara menyeluruh.
Beliau turut menegaskan kepentingan memperkukuh kerjasama strategik di peringkat antarabangsa, termasuk dengan negara seperti Amerika Syarikat, China, Taiwan dan Singapura, agar Sarawak dan Malaysia terus kekal relevan dalam rantaian bekalan global industri semikonduktor.
Turut hadir di perbincangan tersebut, Presiden MSIA, Dato’ Seri Wong Siew Hai
-EDISI UKAS