Pembinaan Jambatan Sungai Sadong Di Kampung Hilir, Serian Bermula
SERIAN: Projek pembinaan Jambatan Sungai Sadong di Kampung Hilir, Serian bernilai RM8.49 juta secara rasmi dimulakan hari ini susulan Majlis Serah Tapak Projek yang diadakan di tapak projek berkenaan.
Majlis pada Selasa itu menandakan permulaan pembinaan sebuah jambatan konkrit baharu yang bakal menghubungkan Kampung Hilir Serian dengan Jalan Kampung Kemayau, bagi memudahkan laluan penduduk setempat khususnya ke tanah perkuburan Islam Kampung Kemayau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus berkata, projek tersebut dilaksanakan di bawah inisiatif Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) bagi kawasan DUN Bukit Semuja dengan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan.
“Dengan penyerahan tapak projek hari ini, kita berharap pembinaan jambatan ini dapat dilaksanakan mengikut tempoh yang telah dijanjikan.
“Projek ini amat penting dalam meningkatkan kesalinghubungan antara Kampung Hilir, Kampung Kemayau serta kawasan sekitarnya,” katanya berucap pada majlis tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa pembinaan Jambatan Hilir nanti dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk kampung dari segi kemudahan perhubungan harian serta mempercepatkan akses keluar masuk antara kampung.
Sehubungan itu, John menegaskan harapan agar pihak kontraktor dan agensi pelaksana dapat melaksanakan projek ini mengikut skop kerja yang ditetapkan serta menepati jadual pelaksanaan bagi mengelakkan sebarang kelewatan.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru penduduk kampung, khususnya pemilik tanah yang terlibat, supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak kontraktor bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek tanpa sebarang gangguan.
Projek pembinaan jambatan ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun dan diharap dapat meningkatkan kualiti hidup serta kemudahan infrastruktur penduduk setempat. -EDISI UKAS