Kemudahan Air Graviti Diperkasa, Pembangunan Luar Bandar Terus Dipacu
LUNDU: Penduduk di Kampung Pasir Hulu, Kampung Sedaing dan Kampung Tebaro di sini kini menikmati kemudahan bekalan air graviti yang lebih baik hasil pelaksanaan beberapa projek menaik taraf yang siap mengikut jadual.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, penduduk Kampung Pasir Hulu kini dapat menikmati kemudahan bekalan air graviti yang telah siap sepenuhnya dan boleh digunakan oleh masyarakat setempat.
Menurut Billy, sebanyak RM400,000 peruntukan telah diagihkan secara berhemah bagi menjayakan projek air graviti berkenaan sebagai keperluan asas penting kepada penduduk luar bandar, sambil menekankan agar kemudahan tersebut dapat dijaga bersama oleh masyarakat setempat walaupun bekalan air terawat akan disalurkan pada masa hadapan.
"Kampung Sedaing akan dibangunkan sebagai kawasan penanaman padi dengan peruntukan RM4.5 juta bermula Mac ini, di samping pembinaan dewan kampung baharu, naik taraf balai raya untuk kegunaan wanita, pemasangan lampu jalan, dan pembinaan loji pemprosesan air terawat bagi kawasan Jalan Biawak yang dijangka beroperasi pada 2028, dengan kerjasama penuh penduduk dan kontraktor diperlukan," katanya ketika ditemui pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau memuji komitmen kontraktor yang menyiapkan kerja di Kampung Tebaro dengan baik, mengucapkan tahniah kepada penduduk yang kini menikmati kemudahan bekalan air graviti yang lebih teratur, dan memaklumkan bahawa projek jalan pertanian bernilai RM800,000 akan dilaksanakan bagi menyokong aktiviti ekonomi penduduk.
Bagi Kampung Tebaro, projek menaik taraf paip graviti bernilai RM575,000 dilaksanakan dari 20 Januari 2025 hingga 21 Januari 2026 bagi 100 buah rumah dengan tempoh waranti setahun sehingga 14 Januari 2027, manakala di Kampung Sedaing, projek serupa bernilai RM469,000 bermula 14 Januari 2026 melibatkan 150 buah rumah dengan waranti sehingga 16 Januari 2027.
Justeru, beliau menasihatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk setempat supaya terus memberi kerjasama kepada kontraktor yang dilantik bagi memastikan kelancaran setiap projek pembangunan, sekaligus menyeru agar sokongan berterusan diberikan kepada kerajaan demi menjadikan Sarawak sebuah negeri yang maju dan berdaya saing.-EDISI UKAS