ADUN Mulu Tinjau Ke Long Lellang, Perkasa Pembangunan Pendaman
MULU: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala telah mengadakan lawatan tinjauan ke Long Lellang, Bahagian Miri bagi menilai perkembangan projek pembangunan serta keperluan masyarakat setempat pada Isnin.
Ketibaan Datuk Gerawat dan delegasi disambut oleh penduduk tempatan melalui jamuan buah-buahan setempat, sekali gus mencerminkan keunikan budaya serta hospitaliti masyarakat Long Lellang.
Dalam lawatan tersebut, Datuk Gerawat Gala turut meninjau beberapa projek kerajaan yang sedang dan telah dilaksanakan di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), konsesi hutan serta projek berkaitan Majlis Bandar Raya Miri (MCC).
Lawatan ini bertujuan memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut perancangan dan memberi manfaat langsung kepada rakyat di kawasan pedalaman.
Rombongan seterusnya mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Long Lellang bagi menilai keadaan prasarana pendidikan, di samping mendengar keperluan serta aspirasi pihak sekolah demi memastikan akses pendidikan yang lebih selesa dan berkualiti kepada anak-anak di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, Datuk Gerawat Gala menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak akan terus komited memastikan pembangunan dilaksanakan secara seimbang dan inklusif, agar tiada kawasan khususnya di pedalaman yang tercicir daripada arus pembangunan dan kemajuan negeri.
Lawatan yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat ADUN Mulu dengan kerjasama Highland Development Agency (HDA) itu turut disertai oleh Pengarah Wilayah HDA Juan Ubit, Pemanca Masyarakat Penan Bahagian Miri Pemanca Hanneser Uning Bong, Penghulu Willie Wing selaku Penghulu Kawasan Long Seridan dan Long Lellang, Ketua Kaum Beraok Ibuh (Long Lellang A) serta Ketua Kaum Tene Uked (Long Lellang B).-EDISI UKAS