Projek Naik Taraf Tempat Letak Kereta Holy Rosary Church Siap Lebih Awal
MIRI: Projek naik taraf tempat letak kereta di hadapan Holy Rosary Church, Piasau Utara yang dilaksanakan menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM100,000 telah siap sepenuhnya lebih awal daripada jadual asal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang, telah meninjau sendiri kerja-kerja projek berkenaan yang melibatkan penurapan asfalt di kawasan parkir yang sebelum ini dibina pada tahun lalu.
Menurut beliau, projek ini bertujuan meningkatkan kemudahan awam serta keselesaan pengguna, khususnya para penganut dan pengunjung Holy Rosary Church.
“Penurapan asfalt yang dilaksanakan bukan sahaja menyediakan ruang parkir yang lebih teratur dan selamat, malah membantu mengurangkan masalah debu serta genangan air yang sebelum ini sering berlaku di kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak kontraktor serta agensi pelaksana atas komitmen dan kerjasama yang baik sehingga projek ini berjaya disiapkan lebih awal daripada tempoh tiga bulan yang ditetapkan, tanpa menjejaskan kualiti kerja.
Dalam pada itu, Adam Yii menegaskan komitmennya untuk memastikan peruntukan RTP dimanfaatkan sepenuhnya bagi melaksanakan projek pembangunan berskala kecil yang memberi impak besar kepada kesejahteraan penduduk setempat.
Beliau turut berharap agar kemudahan yang telah dinaik taraf ini dimanfaatkan dan dipelihara bersama demi keselesaan serta keselamatan semua pihak.-EDISI UKAS