JLM Sokong Penuh Penggunaan Teknologi Latihan Moden
SIBU: Jabatan Laut Malaysia (JLM) menyokong dan menggalakkan penggunaan teknologi latihan moden seperti simulator bagi memastikan pelaut negara bukan sahaja memenuhi syarat pensijilan, malah memiliki tahap kompetensi, disiplin dan kesiapsiagaan tinggi untuk menghadapi cabaran sebenar di laut.
Ketua Pengarah JLM Datuk Dickson Dollah berkata, pembukaan rasmi Institut Latihan TCCS Marine Sdn. Bhd. merupakan satu perkembangan yang amat dialu-alukan kerana mencerminkan peranan penting sektor swasta sebagai rakan strategik kerajaan dalam memperkukuh ekosistem latihan maritim yang mampan, berkualiti dan berdaya saing.
“Dalam landskap industri perkapalan yang semakin kompleks dan berisiko tinggi, aspek keselamatan pelayaran, kecekapan operasi serta pematuhan kepada perundangan antarabangsa amat bergantung kepada kualiti latihan yang diterima oleh para pelaut.
“Justeru, penubuhan institut latihan yang dilengkapi dengan kemudahan moden serta tenaga pengajar yang berpengalaman bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan satu keperluan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pembukaan Rasmi Institut Latihan TCCS Marine Sdn. Bhd, Pelancaran Pusat Simulator dan Majlis Tamat Kursus di sini, pada Rabu.
Beliau turut menyifatkan pelancaran Pusat Simulator di institut tersebut sebagai satu langkah strategik yang signifikan dalam meningkatkan keberkesanan latihan maritim negara.
Katanya, latihan berasaskan simulator membolehkan para pelatih menghadapi senario operasi sebenar dalam persekitaran yang terkawal, sekali gus mengasah keupayaan membuat keputusan serta pengurusan risiko.
“Selain itu, ia juga dapat mempertingkat kemahiran kepimpinan, komunikasi serta pengurusan sumber di atas kapal,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa JLM akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan institusi latihan dan pihak industri pada masa akan datang.
Jelasnya, ini bagi memastikan program latihan kekal relevan, standard kompetensi terus dipelihara, dan pelaut Malaysia kekal diiktiraf di peringkat nasional serta antarabangsa.
“Saya berharap TCCS Marine Sdn. Bhd. akan terus memainkan peranan sebagai sebuah institusi latihan yang berintegriti, berdaya saing dan menjadi rujukan dalam pembangunan modal insan maritim negara,” ujarnya.
Terdahulu, dalam ucapan Pengarah Urusan TCCS Marine Sdn Bhd, James Ho menyifatkan pembukaan rasmi Institut Latihan Maritim TCCS Marine Sdn Bhd dan pelancaran Pusat Latihan Simulator menandakan perkembangan baharu dalam usaha syarikat itu melahirkan tenaga kerja maritim yang berkemahiran.
Beliau berkata pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam menyokong sektor maritim melalui pembangunan tenaga profesional yang kompeten, berdisiplin dan bersedia menghadapi industri, selaras dengan keperluan Jabatan Laut Malaysia (JLM) serta piawaian antarabangsa yang diiktiraf.
“Penubuhan dan pertumbuhan TCCS Marine dipandu oleh visi yang jelas untuk menyediakan latihan maritim yang berstruktur, berkualiti tinggi dan bersifat praktikal, yang memenuhi keperluan peraturan serta kekal relevan dengan keperluan operasi sebenar,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 23 kursus telah diluluskan oleh Jabatan Laut Malaysia setakat ini, merangkumi Kursus Modular STCW dan Kursus Persediaan.
TCCS Marine Sdn. Bhd. merupakan sebuah institusi latihan maritim yang telah diluluskan oleh Jabatan Laut Malaysia untuk menjalankan kursus-kursus di bawah Konvensyen Standard of Training, Certification and Watchkeeping Convention 1978 (STCW) 1978, serta telah memperoleh pengiktirafan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015.
Institusi ini telah ditubuhkan pada 30 Oktober 2023 dengan satu matlamat yang jelas, iaitu untuk melahirkan pelaut dan pegawai marin yang kompeten, berdisiplin dan bertaraf antarabangsa, selaras dengan keperluan industri perkapalan moden serta piawaian yang ditetapkan oleh Konvensyen Antarabangsa STCW.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Kawalan Industri Maritim JLM Mohammad Marzuki Berahim, Pengarah Jabatan Laut Wilayah Sarawak Bianus Muyou, Controller Lembaga Sungai-Sungai Sarawak Lt. Kol. Ding Tiew Wong dan Pengarah Latihan TCCS Marine Sdn Bhd Kapt. Budyuzaman Abu Seman. -EDISI UKAS