SK Kepayang Terima Peruntukan RM176,000, Perkukuh Pendidikan Luar Bandar di Gedong
GEDONG: Pendidikan di kawasan luar bandar terus diperkukuhkan apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Kepayang, Gedong menerima peruntukan berjumlah RM176,000 bagi tujuan penyelenggaraan, kebajikan dan pemerkasaan kemudahan pembelajaran.
Peruntukan tersebut diumumkan susulan lawatan Wakil Khas ADUN Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais ke sekolah itu pada Isnin, di mana beliau berpeluang meninjau keadaan fizikal sekolah serta mendengar keperluan sebenar warga pendidik dan murid.
Dalam lawatan tersebut, Dato Sri Mohd Naroden telah diberi taklimat ringkas oleh Guru Besar SK Kepayang, Eda Obeng berkaitan latar belakang sekolah, kemudahan sedia ada serta cabaran yang dihadapi dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang selesa dan kondusif.
Menurut Eda Obeng, keprihatinan Dato Sri Mohd Naroden terhadap kebajikan warga sekolah dan keperluan mendesak institusi pendidikan luar bandar ini telah mendorong kelulusan segera peruntukan sekaligus mencerminkan keutamaan yang diberikan terhadap sektor pendidikan.
Daripada jumlah keseluruhan peruntukan yang diluluskan, RM150,000 diperuntukkan khusus untuk naik taraf Dewan Sekolah menjadikannya fokus utama dalam usaha menyediakan ruang serbaguna yang lebih selamat, selesa dan sesuai untuk pelaksanaan aktiviti akademik serta kokurikulum.
Manakala selebihnya diperuntukkan untuk bilik darjah (RM10,000), bilik pentadbiran dan bilik guru (RM10,000), kelab rekreasi guru (RM3,0000) serta pembelian Smart TV (RM3,000) bagi menyokong pembelajaran digital.
Sumbangan ini bukan sahaja merupakan bantuan kewangan, malah pelaburan jangka panjang untuk meningkatkan kualiti pendidikan, keselesaan pembelajaran murid, dan persekitaran kerja warga pendidik, di samping menyediakan Smart TV yang membuka ruang bagi kaedah pengajaran lebih interaktif selaras dengan keperluan pendidikan abad ke-21.
Turut hadir semasa lawatan adalah Pemanca Sarika Muda, Pemanca Iban Zon Ulu Gedong, barisan guru SK Kepayang, ahli jawatankuasa Exco PIBG, serta Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) Zon Ulu Gedong.
Dengan kelulusan peruntukan ini, SK Kepayang diharapkan agar terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan yang berupaya melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia dalam suasana sekolah yang lebih kondusif dan sejahtera. -EDISI UKAS