AirBorneo Tingkat Sistem Daftar Masuk Dalam Talian
KUCHING: AirBorneo sedang giat menambah baik fungsi sistemnya bagi membolehkan perkhidmatan daftar masuk dalam talian diperluaskan, termasuk untuk penerbangan ATR, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kecekapan serta kemudahan kepada penumpang.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata AirBorneo sedang berusaha memasukkan fungsi tambahan itu agar penumpang dapat menikmati kemudahan daftar masuk secara dalam talian pada masa hadapan yang melibatkan warga emas, selaras dengan komitmen syarikat untuk memperluaskan akses digital kepada semua kumpulan penumpang.
“Kami akan menambah baik fungsi sistem supaya kemudahan tersebut turut boleh digunakan oleh AirBorneo bagi penerbangan ATR, termasuk membuat daftar masuk secara dalam talian namun, bagi laluan luar bandar yang menggunakan pesawat ‘twin otter’ ia tidak dapat dilaksanakan berikutan kekangan kemudahan, memandangkan lapangan terbang yang terlibat adalah kecil dan hanya melibatkan jumlah penumpang yang sangat terhad, iaitu sekitar sembilan orang sahaja.
“Bagaimanapun, bagi penerbangan menggunakan pesawat ATR, AirBorneo akan cuba menambah satu lagi fungsi dalam sistem, iaitu membolehkan penumpang membuat daftar masuk secara dalam talian dan pada masa yang sama, kemudahan ini juga akan diperluaskan kepada warga emas supaya mereka turut dapat membuat daftar masuk secara dalam talian,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), di sini, pada Rabu.
Menyentuh mengenai diskaun tambang sebanyak 50 peratus kepada warga emas yang berumur 60 tahun ke atas, beliau menjelaskan proses mendapatkan diskaun tersebut masih dilakukan secara manual atau melalui pusat panggilan semasa daftar masuk, dan belum tersedia secara dalam talian.
“Namun, kami akan menambah baik perkara tersebut dan menjadikannya boleh dilaksanakan secara dalam talian pada masa hadapan dan pada masa yang sama, kami turut meneliti operasi keseluruhan sistem di mana setakat ini, semua sistem didapati berjalan dengan baik dan lancar,” ujar beliau lagi.
Difahamkan, sebanyak 24 sistem utama telah dipindahkan daripada Malaysia Airlines pada 14 Januari, selain 11 subsistem milik Air Borneo sendiri, menjadikan keseluruhan 35 sistem kini beroperasi dan kesemua sistem tersebut dilaporkan berjalan dengan lancar dan stabil.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin, berkata secara purata, jumlah penumpang harian adalah sekitar 2,000 orang.
“Oleh itu, bagi tempoh kira-kira dua minggu AirBorneo memulakan operasi jumlah keseluruhan penumpang dianggarkan antara 20,000 hingga 25,000 orang,” ujarnya.
Ketika ini, fokus utama syarikat adalah memastikan perkhidmatan sedia ada, khususnya perkhidmatan udara luar bandar (RAS), berjalan secara lancar dan seiring mungkin, sebelum memberi tumpuan kepada penambahbaikan perkhidmatan serantau pada fasa seterusnya. -EDISI UKAS