Sarawak Sambut Baik Inisiatif Malaysia Airport Tingkatkan Infrastuktur Lapangan Terbang
KUCHING: Sarawak menyambut baik inisiatif Malaysia Airports yang kini sedang meningkatkan infrastruktur dan kemudahan di lapangan terbang negeri ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, beliau telah mendapatkan maklum balas dan aduan orang ramai sejak dua hingga tiga tahun lalu sekaligus mengusulkan perkara ini dalam beberapa siri mesyuarat bersama pihak pengurusan lapangan terbang.
“Aduan utama yang paling sering dibangkitkan sememangnya berkaitan dengan kemudahan tandas dan saya berasa gembira kerana Malaysia Airports telah mengambil langkah untuk menaik taraf dan mengubah suai kemudahan di lapangan terbang, termasuk tandas yang telah anda lihat sebentar tadi,” ujar beliau ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), di sini, pada Rabu.
Melalui peruntukan bajet tahun lalu, beliau mendedahkan sebanyak 13 projek naik taraf telah dilaksanakan kerja-kerja naik taraf, dengan 11 daripadanya telah siap manakala dua lagi masih dalam proses pelaksanaan.
Pada tahun ini pula, Malaysia Airports akan meneruskan usaha tersebut dengan 10 lagi projek naik taraf kemudahan yang ada di lapangan terbang.
Antara kerja naik taraf yang telah siap di KIA termasuklah penukaran papan tanda yang lebih jelas, papan elektronik memaparkan maklumat ketibaan dan pelepasan penerbangan, pemasangan kaca dinding berwarna gelap untuk mengurangkan haba dan zon menunggu e-hailing.
Sementara itu, Pengurus Kanan Malaysia Airport Sdn Bhd (Kuching), Ir Jun Iskandar Murshidi, berkata pihak mereka akan menyediakan sudut kanak-kanak untuk anak-anak yang terletak di Aras 3 dan menubuhkan dinding ikonik yang disediakan khas untuk penumpang mengambil gambar semasa ketibaan dan pelepasan sekaligus menambah elemen menarik dan pengalaman yang lebih baik di lapangan terbang. -EDISI UKAS