MERADONG: Projek pendawaian semula di Sekolah Kebangsaan (SK) Mador, Batu 8, Jalan KJD Meradong, telah disiapkan sepenuhnya.
Projek tersebut dilaksanakan melalui peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong dengan jumlah kos keseluruhan bernilai RM50,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, selain meningkatkan kemudahan elektrik dan keselamatan melalui pendawaian baharu, projek ini merupakan kesinambungan usaha menaiktaraf infrastruktur di SK Mador secara berperingkat.
“Antara penambahbaikan terdahulu termasuk pemasangan lantai tar, kipas, lampu LED, dan pelbagai kemudahan lain yang menyumbang kepada keselesaan pelajar dan kakitangan,” ujarnya semasa berucap dalam majlis penyerahan projek berkenaan, di sini, pada Selasa.
Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana berpeluang menyaksikan sendiri perubahan fizikal dan penambahbaikan infrastruktur yang memberi manfaat secara langsung kepada pihak sekolah serta komuniti setempat.
Sehubungan itu, beliau berharap dengan penyiapan projek ini dapat meningkatkan keselamatan dan keselesaan penggunaan kemudahan elektrik di sekolah, selaras dengan usaha berterusan meningkatkan kualiti pendidikan dan infrastruktur di kawasan Meradong. -EDISI UKAS