Kerajaan Pastikan Tanah Diambil Untuk Pembangunan Dapat Pampasan
TEBEDU: Kerajaan akan memastikan setiap tanah yang diambil untuk projek pembangunan mendapat pampasan yang sewajarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr Simon Sinang Bada menegaskan, setakat ini kerajaan tidak pernah mengambil tanah atau merobohkan rumah serta struktur di tepi jalan yang terlibat dalam pembangunan secara percuma.
“Setakat ini, kerajaan tidak pernah mengambil tanah atau merobohkan rumah serta struktur di tepi jalan yang terlibat dalam pembangunan secara percuma.
"Semua pampasan dibayar mengikut proses penilaian yang telah ditetapkan oleh Jabatan Tanah Dan Survei (JTS),” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Cek Pampasan Tanah (Tambahan) bagi pembinaan Projek Jalan Tebedu di kawasan Darul Iman, Darul Insan Jaya Darul Falah, Temong Tepoi pada Rabu.
Sebanyak 13 keping cek bernilai keseluruhan RM46,949 telah diserahkan kepada 10 orang penuntut, melibatkan pengambilan tanah seluas 0.6 hektar bagi tujuan pembinaan projek berkenaan.
Tegas Dr Simon Sinang, setiap projek pembinaan jalan memerlukan penggunaan tanah dan tidak mungkin dibina tanpa pengambilan tanah.
Namun begitu, beliau turut menyentuh isu segelintir rakyat yang masih membina rumah atau struktur di atas tanah yang telah dibayar pampasan sebelum ini.
Jelasnya, tindakan sedemikian adalah menyalahi undang-undang, namun kerajaan tetap prihatin terhadap kebajikan rakyat.
Mengulas mengenai pembinaan Jalan Tebedu, beliau berkata projwk berkenaanberjalan lancar mendahului jadual dengan kemajuan fizikal semasa mencapai 7.4 peratus setakat 25 Disember 2025 berbanding sasaran awal 4.99 peratus. - EDISI UKAS