Naik Taraf Jalan Long Lellang Perkukuh Akses Pedalaman, Tender Dijangka Hujung Bulan Ini
LONG LELLANG: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan kawasan pedalaman apabila cadangan naik taraf jalan sedia ada ke Long Lellang, Bahagian Miri dijangka ditender pada hujung Januari ini, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan projek berimpak tinggi yang dijadual bermula Jun 2026.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata, projek tersebut amat signifikan dalam meningkatkan kebolehcapaian, keselamatan serta kesejahteraan penduduk pedalaman, khususnya komuniti di Long Lellang yang selama ini berdepan cabaran laluan tidak sempurna terutama ketika musim hujan.
“Jalan raya adalah nadi utama pembangunan. Akses yang baik bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat, memperluas akses pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan meningkatkan tahap keselamatan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi taklimat bersama penduduk Long Lellang yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat N.78 Mulu dengan kerjasama Highland Development Agency (HDA), di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, projek yang dicadangkan melibatkan naik taraf jalan sedia ada sepanjang 4.7 kilometer dengan penekanan kepada bahagian-bahagian kritikal yang kerap mengalami kerosakan dan kesukaran laluan.
“Daripada jumlah tersebut, sepanjang 1.185 kilometer akan dinaik taraf menggunakan permukaan konkrit di lokasi kritikal bagi memastikan struktur jalan lebih kukuh dan tahan lama, manakala 3.690 kilometer lagi melibatkan naik taraf jalan jenis gravel untuk meningkatkan kebolehlaluan dan keselamatan pengguna,” jelasnya.
Tambah beliau, projek itu turut merangkumi penggantian sebanyak 31 unit pembetung kayu (log culverts) sedia ada kepada struktur yang lebih selamat dan berfungsi dengan lebih berkesan.
Selain itu, tiga jambatan kayu (log bridges) yang menjadi lintasan sungai utama akan digantikan dengan jambatan jenis Steel Composite Bridge yang lebih kukuh, selamat serta sesuai untuk kegunaan jangka panjang.
Datuk Gerawat menegaskan bahawa Kerajaan Negeri melalui HDA sebagai agensi pelaksana komited memastikan projek ini dilaksanakan mengikut spesifikasi dan piawaian ditetapkan.
“Sekiranya proses perolehan berjalan lancar, kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada Jun 2026. Kerajaan Negeri komited memastikan pelaksanaan projek ini memberi manfaat maksimum kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menyeru penduduk setempat memberikan kerjasama penuh termasuk dari segi sokongan, maklum balas serta pemantauan bersama bagi memastikan projek ini dapat disiapkan dengan lancar dan berkesan.
Turut hadir, Pengarah Wilayah HDA Juan Ubit, Pemanca Masyarakat Penan Bahagian Miri Pemanca Hanneser Uning Bong, Penghulu Kawasan Long Seridan dan Long Lellang Penghulu Willie Wing, Ketua Kaum Beraok Ibuh (Long Lellang A) serta Ketua Kaum Tene Uked (Long Lellang).-EDISI UKAS