SMD Raikan Kohort Pertama Program Reka Bentuk IC Digital Di Sarawak
SMD Raikan Kohort Pertama Program Reka Bentuk IC Digital Di Sarawak
KUCHING: SMD Semiconductor mencatat satu pencapaian penting dalam pembangunan bakat semikonduktor Sarawak apabila bakal menganjurkan Majlis Token of Completion bagi kohort pertama Program SMD Semiconductor–CENTEXS Digital IC Design Semiconductor Mastery di Akademi SMD pada 23 Januari 2026.
Ia merupakan antara iniisiatif awal tahun ini, yang antara lain memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, kolaborasi antarabangsa dan penglibatan ekosistem, sekali gus mengukuhkan peranan SMD sebagai platform penyampaian negeri dalam pembinaan keupayaan industri semikonduktor.
Majlis tersebut mengiktiraf peserta yang berjaya menamatkan latihan lanjutan dalam bidang reka bentuk IC digital.
Ia akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Pada 4 Februari 2026, SMD Semiconductor bersama delegasi Universiti Bristol, United Kingdom akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Lawatan tersebut bertujuan memberi taklimat mengenai cadangan kerjasama dalam bidang semikonduktor kompaun serta menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara SMD Semiconductor, Universiti Bristol, UK dan Yayasan Sarawak.
Kerjasama itu akan diteruskan menerusi Sesi Libat Urus Universiti Bristol bersama institusi pengajian tinggi, institusi teknikal dan agensi kerajaan yang dianjurkan oleh SMD pada 5 Februari 2026.
SMD Semiconductor juga akan menyertai Asia Pacific Aerospace Conference and Exhibition (APACE) 2026 yang berlangsung dari 27 hingga 29 Januari 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), dengan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shariman Jamil terlibat sebagai penceramah plenari dan panel.
Selain itu, SMD Semiconductor turut menyertai penyertaan Sarawak di Mobile World Congress (MWC) Barcelona 2026 dari 2 hingga 5 Mac 2026 di Fira Gran Via, Barcelona, Sepanyol bagi memperkukuh jaringan antarabangsa dan meningkatkan keterlihatan global Sarawak dalam bidang teknologi termaju.-EDISI UKAS