Kepimpinan Baharu MDL Diseru Terus Perkukuh Mutu Penyampaian Perkhidmatan
LUNDU: Kepimpinan baharu Majlis Daerah Lundu (MDL) diseru untuk meneruskan kecemerlangan pentadbiran serta memperkukuhkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan, berkata semua ahli majlis dan kakitangan MDL harus menjalankan tanggungjawab yang dipikul sebagai satu amanah serta khidmat kepada negeri dan masyarakat, lebih-lebih lagi dalam suasana semasa di mana setiap tindakan penjawat awam sentiasa diperhatikan oleh rakyat.
“Saya yakin kepimpinan baharu MDL dapat memikul tanggungjawab ini agar kesinambungan kecemerlangan dapat diteruskan demi pembangunan dan kesejahteraan masyarakat di Daerah Lundu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Pengerusi Majlis Daerah Lundu yang menyaksikan Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail, mengangkat sumpah sebagai Pengerusi Majlis Daerah Lundu yang baharu pada pagi Khamis.
Di kesempatan itu, Azizul turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Pengerusi Majlis Daerah Lundu atas sumbangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan, selain mengiktiraf pencapaian MDL yang berjaya meraih Anugerah Emas kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sekali gus membuktikan keberkesanan tadbir urus majlis tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan peranan penting PBT sebagai agensi yang paling hampir dengan rakyat, khususnya dalam mengurus isu-isu harian seperti kebersihan, pelesenan, penyelenggaraan kemudahan awam dan pengurusan persekitaran.
“Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan agar setiap urusan yang melibatkan masyarakat dilaksanakan dengan penuh kebijaksanaan, empati serta menggunakan budi bicara selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” tegasnya.
Menyentuh aspek pembangunan, beliau memuji usaha MDL dalam melaksanakan pelbagai projek rakyat termasuk Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), projek rumah ke rumah serta inisiatif pembangunan bandar yang menyumbang kepada kesejahteraan penduduk setempat.
Antara perancangan yang mendapat perhatian ialah projek pembaharuan Tebingan Sungai Lundu yang dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan daerah itu pada masa hadapan.
Hadir sama, Setiausaha Majlis Daerah Lundu Norashikin Brahim, ahli-ahli majlis serta kakitangan MDL. -EDISI UKAS