Ramah Tamah Aidilfitri Pemuda Kampung Pemukat Eratkan Silaturahim
LAWAS: Suasana penuh meriah dan harmoni jelas dirasai apabila Program Ramah Tamah Aidilfitri Pemuda Kampung Pemukat berjaya dianjurkan dengan kerjasama Pemukat Football Club pada Jumaat.
Ketua Pemuda Kampung Pemukat, Duraman Salleh dalam ucapannya menegaskan bahawa penglibatan aktif pemuda dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan mencerminkan semangat kerjasama dan perpaduan yang kukuh dalam komuniti.
Menurut beliau, sepanjang Ramadan lalu, pemuda kampung telah melaksanakan pelbagai program termasuk gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan di Pulau Sari, penganjuran iftar kampung serta sumbangan air minuman sempena Aidilfitri kepada setiap rumah.
Beliau turut menambah bahawa kutipan sumbangan secara sukarela dalam kalangan pemuda mencerminkan semangat “sehati sejiwa” yang menjadi kekuatan komuniti, selain berharap program seumpama ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan.
Program tersebut bukan sahaja menjadi medan bermaaf-maafan sempena Aidilfitri, malah berjaya memperkukuh jalinan ukhuwah serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda Kampung Pemukat.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Kampung Pemukat, Joferi Bakir serta Kaunselor Mohamad Abu Bakar bersama wakil pemuda cawangan Lawas dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).-EDISI UKAS