MBM Bakal Laksana Pembersihan Kawasan Pertemuan Longkang dan Sungai Miri Bagi Kurangkan Risiko Banjir Kilat
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) telah diarahkan melaksanakan kerja pembersihan di kawasan pertemuan antara longkang saliran di sepanjang Jalan Pujut 7 dan Sungai Miri bagi memastikan aliran air lebih lancar serta mengurangkan risiko kejadian banjir kilat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut yang juga Datuk Bandar Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang berkata, kawasan berkenaan dikenal pasti sebagai antara lokasi yang sering mengalami masalah saliran, khususnya ketika hujan lebat, sehingga menyebabkan paras air meningkat secara mendadak dan menjejaskan kawasan perumahan berhampiran.
“Lawatan dan pemeriksaan tapak telah beberapa kali dilakukan sebelum ini bagi mengenal pasti punca sebenar permasalahan tersebut.
“Hasil pemerhatian dan perbandingan paras air selama beberapa hari mendapati paras air di dalam longkang berubah selari dengan paras air Sungai Miri.
“Keadaan ini menyebabkan air dari longkang tidak dapat mengalir keluar dengan sempurna apabila paras air sungai meningkat, malah berisiko berlaku aliran balik yang boleh memburukkan keadaan ketika hujan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke longkang saliran di sepanjang Jalan Pujut 7 bagi menjalankan pemeriksaan serta mendengar taklimat lapangan daripada pasukan Perkhidmatan Pusat Khidmat pada Khamis.
Adam Yii menjelaskan bahawa permasalahan saliran di kawasan itu bukan semata-mata berpunca daripada faktor teknikal sistem perparitan, malah turut berkait dengan faktor struktur serta kesan perubahan iklim yang menyumbang kepada kejadian hujan ekstrem dan peningkatan paras air sungai pada tahap luar biasa sejak kebelakangan ini.
Sehubungan itu, katanya, kerja pembersihan akan dilaksanakan secara sistematik bagi menghapuskan halangan, memperbaiki laluan aliran air serta memudahkan penyelenggaraan jangka panjang.
Beliau menegaskan bahawa MBM akan meneruskan pemantauan dan pelaksanaan langkah penambahbaikan secara berperingkat, selaras dengan keperluan semasa.
Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan kerjasama masyarakat setempat untuk menyalurkan maklumat berkaitan isu saliran agar tindakan susulan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti.-EDISI UKAS