Penghantaran Bantuan Makanan Kepada 2,894 Penduduk Terputus Hubungan di Tatau Selesai
TATAU: Seramai 2,894 penduduk di beberapa kawasan terputus hubungan di Daerah Tatau berjaya menerima bantuan makanan susulan laluan darat yang tidak dapat dilalui akibat banjir.
Kawasan terjejas melibatkan 69 rumah panjang, dua kampung serta dua klinik kesihatan di sekitar Kelebu, Kakus, Penyarai, Sungai Sap, Ulu Anap, Nanga Tau, Entajum, Kampung Dagang, Kampung Baru, Annau, Muput dan beberapa lokasi lain.
Penghantaran bantuan dilaksanakan secara berperingkat menggunakan bot melalui laluan sungai serta kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan lori, bergantung kepada keadaan kawasan.
Operasi ini melibatkan seramai 25 petugas daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Pejabat Daerah Tatau serta Pejabat Pendidikan Daerah Tatau Sebauh (PPDTS).
Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat atas komitmen dan kerjasama berpasukan dalam memastikan bantuan disampaikan kepada penduduk terjejas.
Beliau berkata, dedikasi petugas yang sanggup bertugas tanpa mengira waktu, termasuk hujung minggu, membolehkan misi penghantaran bantuan dilaksanakan dengan lancar meskipun berdepan cabaran logistik.
“Semangat kerjasama dan berpasukan yang ditunjukkan oleh semua agensi terlibat telah membuahkan hasil apabila kesemua bantuan berjaya disampaikan, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk keperluan mengangkat dan memindahkan barangan bantuan yang berat setiap hari,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan situasi banjir tahun ini adalah lebih terkawal berbanding tahun lalu dan tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka, walaupun terdapat kawasan yang terputus hubungan akibat jalan dinaiki air selama beberapa hari.-EDISI UKAS