Projek Baik Pulih Jalan Taman APT 2 Dijangka Siap Sebelum Tahun Baharu Cina 2026
KOTA SAMARAHAN: Projek baik pulih Jalan Taman APT 2, di sini yang dilaksanakan di bawah projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan dijangka siap sepenuhnya sebelum sambutan Tahun Baharu Cina 2026, sekali gus memberi kelegaan kepada penduduk setempat yang terjejas sebelum ini.
Projek berkenaan dilaksanakan susulan kerosakan serius akibat hakisan tanah yang menyebabkan runtuhan sebahagian jalan, sekali gus menjejaskan keselamatan dan kelancaran pergerakan pengguna.
Ketika ini, kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan dengan pemantauan rapi oleh Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar serta mematuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan.
Setakat ini, kemajuan fizikal projek telah mencapai 45 peratus dan pelaksanaannya berada di landasan yang ditetapkan selaras dengan jadual kerja yang dirancang.
Pemantauan berterusan tersebut bertujuan menjamin kualiti kerja, selain memberi penekanan khusus terhadap aspek keselamatan struktur dan keselesaan pengguna jalan raya, terutamanya penduduk di kawasan terlibat yang terpaksa berdepan dengan kesulitan sejak berlakunya kerosakan.
MPKS menegaskan komitmen untuk terus memantau perkembangan projek dari semasa ke semasa bagi memastikan kerja baik pulih dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan, sekali gus menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. -EDISI UKAS