Bekalan Air Mineral Dihantar Segera Kepada Penduduk Terjejas Di Serian
SERIAN: Bekalan air mineral dihantar segera kepada penduduk yang terjejas ekoran gangguan bekalan air di beberapa kampung dalam kawasan Serian.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang, bersama pasukan First Response Team (FRT) N16 telah melaksanakan penghantaran bekalan air mineral ke beberapa buah kampung yang terjejas, iaitu Kampung Soh, Kampung Raeh dan Kampung Seruit sekitar jam 11 malam, pada Sabtu.
Menurut beliau, langkah segera adalah untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian, tanpa mengira masa dan keadaan, terutama apabila melibatkan keperluan asas seperti bekalan air bersih.
“Walaupun keadaan berlaku pada lewat malam, keperluan penduduk tetap menjadi keutamaan. Usaha penghantaran bekalan air ini adalah langkah sementara bagi meringankan beban penduduk yang terjejas,” katanya ketika ditemui semasa operasi penghantaran tersebut.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan First Response Team N16 yang bertindak cekap dan pantas dalam membantu melaksanakan misi penghantaran bekalan ke kawasan terlibat, sekali gus memastikan bantuan sampai terus kepada penduduk yang memerlukan.
Penduduk setempat menyambut baik usaha tersebut dan menzahirkan rasa terima kasih atas keprihatinan serta tindakan segera yang diambil oleh wakil rakyat mereka dalam menghadapi situasi kecemasan.
Dato Idris menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan berhubung dengan agensi berkaitan bagi memastikan isu gangguan bekalan air ini dapat diselesaikan secara menyeluruh demi kesejahteraan penduduk. -EDISI UKAS