Libat Urus JKKK Perkukuh Hala Tuju Pembangunan Kampung dan Pelancongan Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Sesi libat urus yang melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari beberapa buha kampung di sini akan memperkukuhkan lagi hala tuju pembangunan kampung dan pelancongan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, menjelaskan antara JKKK yang terlibat adalah mereka dari Kampung Meranek, Kampung Empila Hulu, Kampung Sambir, Kampung Sri Tajo serta Kampung Tanjung Tuang untuk berbincang serta merangka projek rintis berkaitan hala tuju pembangunan kampung serta penerokaan potensi pelancongan setempat.
Menurut Datuk Rubiah, sesi libat urus berkenaan memberi tumpuan kepada idea pembangunan berasaskan komuniti, pemerkasaan ekonomi penduduk kampung serta perancangan inisiatif yang mampu meningkatkan nilai tambah kepada kawasan luar bandar.
Antara fokus utama yang dibincangkan ialah usaha mempromosikan dan memperkasa produk tempatan seperti hasil pertanian, kraftangan, produk makanan kampung serta keusahawanan desa agar lebih berdaya saing dan mampu menembusi pasaran yang lebih luas.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan turut menyuarakan harapan agar kawasan Samarahan dapat dibangunkan sebagai destinasi yang mampu menarik minat pelancong, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan dan kesejahteraan ekonomi penduduk kampung.
“InsyaAllah, segala cadangan dan pandangan yang dikemukakan akan dijadikan asas kepada perancangan pembangunan yang lebih tersusun, inklusif serta memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat setempat,” katanya.
Hadir sama, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin dan wakil Pegawai Daerah Samarahan Siti Zahara Mohamad Mohmood. -EDISI UKAS