UKAS Perkemas Strategi Komunikasi Hadapi Cabaran 2026
LUNDU: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mengambil langkah proaktif memperkukuh kesiapsiagaan organisasi dalam mendepani cabaran landskap komunikasi tahun 2026 menerusi penganjuran Program Team Building UKAS 2026.
Pengarahnya, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata program tersebut bukan sekadar platform pembinaan pasukan, sebaliknya medan strategik untuk menyusun semula perancangan kerja, memperhalusi dasar komunikasi serta memperkukuh ketahanan mental dan fizikal warga UKAS dalam melaksanakan amanah penyampaian maklumat kerajaan kepada rakyat.
Menurut beliau, program yang berteraskan konsep ‘3R’ iaitu Revisit, Rethink and Recharge memberi ruang kepada warga UKAS menilai semula pendekatan sedia ada, menambah baik perancangan program lapangan serta menyuntik semula semangat agar kekal produktif sepanjang tahun mendatang.
“Tahun 2026 dijangka lebih mencabar dengan pelbagai agenda Kerajaan Sarawak yang perlu disampaikan secara berkesan.
“Justeru, UKAS perlu bergerak sebagai satu pasukan yang bersatu, cekap dan responsif terhadap isu semasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Team Building UKAS 2026 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak( Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, di Lundu pada Ahad.
Beliau turut menegaskan kepentingan ketepatan dan kredibiliti dalam penyiaran berita UKAS, sambil mengingatkan semua pegawai agar sentiasa peka terhadap isu tular, melakukan semakan rapi serta bertindak pantas menangani sebarang kesilapan penerbitan bagi mengekalkan kepercayaan pihak berkepentingan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Datuk Abdullah atas bimbingan berterusan dalam memperkasa pengurusan komunikasi strategik UKAS, selain menghargai kerjasama Pentadbiran Daerah Lundu dan komuniti setempat yang membuka ruang interaksi sosial bersama warga UKAS.
Awang Putrayusrie turut menyeru warga UKAS agar terus meningkatkan ilmu dan profesionalisme, termasuk merebut peluang melanjutkan pengajian bagi memperkukuh kepakaran dalam bidang komunikasi awam, sejajar dengan peranan UKAS sebagai penghubung sahih antara kerajaan dan rakyat.
Program ini turut melibatkan fasilitator profesional serta penyertaan warga UKAS dari seluruh Bahagian Sarawak, sekali gus mencerminkan komitmen organisasi dalam membentuk pasukan komunikasi yang lebih dinamik, inovatif dan berdaya tahan.
Hadir sama, Pegawai Tadbir Khas UKAS Datu Takun @ Takon Sunggah, Pengurus Operasi SALCRA Bajo Training Center Mohd Affendy Bujang, Pengurus WRK Learning Ahmad Rusdi Shamsuddin serta pegawai-pegawai kanan UKAS.-EDISI UKAS