Kestabilan Politik Tingkat Keyakinan Pelabur dan Rakyat
SIBU: Kejayaan Sarawak hari ini adalah berpaksikan kepada tadbir urus yang berkesan serta pengurusan sumber yang bijaksana demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian, berkata pendekatan pentadbiran yang mengutamakan kepentingan rakyat, di samping kestabilan politik dan perpaduan antara parti-parti komponen kerajaan, telah menjadikan Sarawak sebagai contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia.
Menurut beliau, Sarawak kini dihormati bukan semata-mata kerana kekayaan sumbernya, sebaliknya kerana keupayaan kerajaan negeri melaksanakan dasar dan pembangunan secara konsisten serta berkesan.
“Sarawak dihormati bukan kerana kita kaya, tetapi kerana apa yang kita lakukan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia. Ramai pihak datang ke Sarawak untuk belajar daripada pengalaman dan pendekatan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pejabat baharu Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong, di sini, pada Ahad.
Dr Sim yang juga Presiden SUPP menegaskan bahawa kestabilan politik serta kerjasama erat antara parti-parti komponen Kerajaan Sarawak iaitu SUPP, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) merupakan asas penting kepada pelaksanaan pembangunan yang lebih pantas dan inklusif.
“Kestabilan politik membolehkan kerajaan merancang dan melaksanakan dasar pembangunan dengan lebih yakin, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur dan rakyat terhadap hala tuju Sarawak,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi SUPP Cawangan Dudong, Wong Ching Yong, menyatakan keyakinan bahawa SUPP bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) berpotensi merampas kerusi Parlimen Lanang pada pilihan raya akan datang berdasarkan peningkatan sokongan pengundi.
Menurut beliau, SUPP-GPS hanya memerlukan tambahan sekitar 10 peratus sokongan pengundi bagi memastikan kemenangan di kerusi berkenaan.
“Jika dibandingkan dengan Pilihan Raya Umum 2018, sokongan kepada SUPP-GPS pada PRU 2022 menunjukkan peningkatan yang jelas. Walaupun DAP memenangi kerusi tersebut, peratusan sokongan mereka sebenarnya menunjukkan penurunan,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang Ming Tee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang, ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, ADUN Bukit Assek, Chieng Jin Ek, Setiausaha Penganjur SUPP Datuk Matthew Chen Thin Kong, Ketua Pemuda SUPP Kaunselor Kevin Lau Kor Jie serta kira-kira 300 tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS