UKAS Perkukuh Perancangan Strategik, Hala Tuju 2026
LUNDU: Program Team Building UKAS 2026 menjadi platform penting bagi memperkukuh semangat kekeluargaan, penyelarasan hala tuju serta kesiapsiagaan strategik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam menghadapi tahun 2026 yang disifatkan sebagai tempoh kritikal bagi organisasi tersebut.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, penganjuran program selama tiga hari dua malam itu hadir pada waktu yang tepat bagi membolehkan warga UKAS melakukan penilaian semula, memperbaharui komitmen serta memperkukuh jati diri sebagai jentera komunikasi rasmi Kerajaan Sarawak.
“Ini masa untuk kita ‘rethink, revisit, recharge, regenerate dan renew’.
"Tahun 2026 adalah tahun yang sangat mencabar dan penting. Kita mesti bergerak lebih laju, lebih tersusun dan lebih berkarakter sebagai sebuah pasukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Team Building UKAS 2026 di sini, pada Ahad.
Beliau menegaskan bahawa setiap warga UKAS perlu membawa identiti dan imej sebagai anak Sarawak yang berbangga berkhidmat untuk kerajaan negeri, di mana sahaja mereka ditempatkan.
“Di mana pun kamu berada, bukan hanya membawa lencana UKAS, tetapi membawa imej anak Sarawak yang bangga berkhidmat untuk negeri ini. Semangat ini perlu mengalir dalam diri setiap warga UKAS,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan perancangan untuk memberi pendedahan lapangan kepada pelatih SCOPE UKAS dengan menempatkan mereka secara berperingkat di pusat khidmat wakil rakyat serta pejabat kementerian bagi memberi pengalaman sebenar bekerja di lapangan.
“Pengalaman turun padang bersama wakil rakyat akan memberi kefahaman tentang realiti tugasan komunikasi kerajaan di peringkat akar umbi. Ini penting untuk membentuk pegawai UKAS yang lebih bersedia dan berdaya saing,” katanya.
Datuk Abdullah turut merakamkan penghargaan terhadap peningkatan kualiti penyampaian berita UKAS, termasuk liputan dalam bahasa Cina dan Iban yang menerima maklum balas positif daripada pelbagai pihak.
Beliau turut menggariskan beberapa agenda utama UKAS sepanjang tahun 2026, antaranya penganjuran Sarawak Media Conference, pertandingan video pendek sempena Hari Sarawak, program komuniti di peringkat daerah, serta pengukuhan jaringan rakan strategik media dan sukarelawan UKAS.
Hadir sama, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pegawai Tadbir Khas UKAS, Datu Takun @ Takon Sunggah, Pengurus Operasi SALCRA Bajo Training Center Mohd Affendy Bujang, Pengurus WRK Learning Ahmad Rusdi Shamsuddin serta pegawai-pegawai kanan UKAS.-EDISI UKAS