BDR Tuntut Disiplin Tinggi, Bukan ‘Cuti Terselindung’
KOTA SAMARAHAN: Pelaksanaan budaya bekerja dari rumah (BDR) susulan peningkatan harga minyak akibat konflik di Timur Tengah perlu disokong dengan tahap disiplin tinggi bagi memastikan produktiviti terus terpelihara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, amalan kerja fleksibel bukan sesuatu yang baharu, malah telah terbukti berkesan ketika pandemik COVID-19 jika dilaksanakan dengan komitmen yang tinggi.
Namun tegas beliau, pendekatan itu tidak boleh disalah tafsir sebagai ruang untuk mengambil kesempatan, sebaliknya memerlukan tanggungjawab individu dalam mengurus masa dan tugasan.
“Apabila kita tidak perlu hadir ke pejabat, itu tidak bermakna ia boleh dianggap sebagai cuti walaupun dalam seminggu kita hanya ke pejabat selama tiga hari, hari yang lain tetap perlu digunakan untuk datang seperti biasa ke pejabat.
“Individu yang terlibat perlu mendisiplinkan diri apabila bekerja dari rumah kerana tempoh tersebut tidak seharusnya digunakan untuk membawa keluarga bercuti, berkelah atau melakukan aktiviti peribadi lain kerana ia mencerminkan sikap tidak berdisiplin,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa kunjungan ke Rumah Terbuka Aidilfitri 2026 Kota Samarahan di Dewan Suarah Samarahan, pada Sabtu.
Tambah beliau, kemajuan teknologi termasuk capaian internet dan penggunaan peranti mudah alih kini membolehkan pelbagai tugasan dilaksanakan secara dalam talian tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan.
Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat sektor tertentu seperti perkhidmatan makanan dan hospitaliti yang tidak dapat melaksanakan BDR sepenuhnya.
Sehubungan itu, beliau menekankan setiap industri perlu menyesuaikan pendekatan kerja fleksibel mengikut keperluan masing-masing bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan tanpa menjejaskan produktiviti. - EDISI UKAS