Pelajar MARA Di Asia Barat Kekal Belajar, Tiada Arahan Pulang
KOTA SAMARAHAN: Pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Asia Barat kekal meneruskan pengajian seperti biasa setakat ini, tanpa sebarang arahan untuk dibawa pulang.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, situasi pembelajaran pelajar terbabit tidak terjejas walaupun terdapat kebimbangan susulan perkembangan keselamatan di rantau berkenaan.
“Setakat ini, sistem pendidikan mereka berjalan seperti sedia kala dan tiada arahan untuk membawa balik pelajar, dan mereka masih meneruskan pengajian seperti biasa,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Rumah Terbuka Aidilfitri 2026 Kota Samarahan di Dewan Suarah Samarahan, pada Sabtu.
Menurutnya, terdapat segelintir pelajar yang pulang ke tanah air sempena musim perayaan, namun sekiranya mereka memilih untuk tidak kembali ke negara pengajian, perkara itu perlu dimaklumkan kepada pihak MARA bagi tujuan penyelarasan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihak MARA telah mempertingkat pemantauan bagi memastikan kedudukan dan keselamatan pelajar sentiasa terjamin.
“Kita sentiasa berhubung dengan pejabat serta institusi pendidikan di sana bagi memastikan pelajar berada dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya.
Tambah beliau, kebanyakan lokasi pengajian tidak terjejas secara langsung oleh konflik semasa dan setakat ini tiada negara terlibat yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi.
Kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan kebajikan serta keselamatan pelajar sentiasa terpelihara. - EDISI UKAS