Kesedaran Ibu Bapa Pacu Lonjakan Prestasi SPM Luar Bandar
KOTA SAMARAHAN: Peningkatan kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan pendidikan dikenal pasti sebagai pemangkin utama lonjakan prestasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah luar bandar di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perubahan ketara dapat dilihat berbanding era 1970-an dan 1980-an apabila semakin ramai pelajar luar bandar kini berjaya mencatat keputusan cemerlang dan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menurut beliau, kejayaan tersebut bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil daripada perubahan sikap ibu bapa yang kini memberi penekanan serius terhadap pendidikan anak-anak.
“Jika dahulu, saya berani katakan ketika mula menjadi wakil rakyat, setiap kali musim mengutip ambal, banyak sekolah di kawasan pesisir pantai didapati kosong kerana pelajar dibawa oleh ibu bapa untuk mencari rezeki kerana keadaan itu berlaku akibat kepentingan pendidikan belum benar-benar diberi penekanan.
“Namun hari ini, situasi tersebut tidak lagi berlaku dan ini jelas menunjukkan berlakunya perubahan minda dalam kalangan masyarakat, berkat hasil usaha berterusan pelbagai pihak termasuk kepimpinan kerajaan, ibu bapa serta warga pendidik yang sentiasa menekankan bahawa ilmu pengetahuan merupakan asas penting dalam membina masa depan,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa kunjungan ke Rumah Terbuka Aidilfitri 2026 Kota Samarahan di Dewan Suarah Samarahan, pada Sabtu.
Dalam majlis sama, beliau bersama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang menyampaikan insentif kepada 20 pelajar cemerlang SPM dari empat sekolah sekitar kawasan tersebut.
Tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, pemberian insentif oleh wakil rakyat merupakan dorongan tambahan dalam menyemarakkan semangat pelajar untuk terus mencapai kecemerlangan.
“Yang penting, kita tidak membezakan latar belakang. Sama ada Melayu, Dayak, Iban atau Cina, semua pelajar yang cemerlang akan terus dibantu dan diberi pengiktirafan,” katanya.
Sementara itu, Datuk Rubiah memaklumkan Gred Purata Sekolah (GPS) di kawasan berkenaan menunjukkan peningkatan ketara daripada 5.49 kepada 5.18, malah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pesantren Abdul Taib Mahmud mencatat keputusan 100 peratus lulus.
Hadir sama Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap ADUN Muara Tuang Dato Idris Buang serta Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang. -EDISI UKAS