MA63: Penerangan Berterusan Kepada Ahli Parlimen Jadi Strategi Raih Sokongan Di Dewan Rakyat
KUCHING: Usaha memberi penerangan berterusan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada Ahli-Ahli Parlimen dikenal pasti sebagai strategi utama bagi memastikan sokongan mencukupi ketika sesuatu perkara dibawa untuk undian di Dewan Rakyat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, tahap kefahaman dan penerimaan dalam kalangan Ahli Parlimen adalah berbeza-beza walaupun penjelasan telah diberikan secara menyeluruh.
"Daripada situ, kita boleh mengkategorikan mereka di mana ada yang mahu memahami, faham dan mahu bersama kita tetapi ada juga yang faham, tetapi tidak mahu bersama kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sesi 'Fireside Chat' di Majlis Resepsi dan Makan Malam Oxbridge Sarawak di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Ahad.
Datuk Amar Fadillah menambah, sokongan awal ini penting bagi merangka strategi politik yang lebih tersusun kepada Sarawak dan Sabah.
Jelasnya, ini terutamanya menentukan sama ada sesuatu usul atau pindaan berkaitan MA63 berpotensi memperoleh majoriti penuh atau sebaliknya.
"Apabila sesuatu perkara itu perlu dibawa untuk undian, kita sudah tahu jumlah sokongan.
"Dari situ, kita boleh merangka strategi lebih awal sama ada kita akan memperoleh dua per tiga majoriti (undian) ataupun tidak," ujar beliau. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ahmad Daniel Faiz & Muhammad Ramzani