KUCHING: Kesedaran masyarakat dan juga para peniaga di Sarawak untuk mendapatkan sijil halal semakin mendapat sambutan yang baik.
Ketua Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Ustaz Ramzen Ambi berkata, setakat Januari ini, Sarawak telah merekodkan sebanyak 1,057 pemegang sijil halal, satu pencapaian yang amat membanggakan.
“Ini merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan kita di Sarawak, di mana kesedaran masyarakat dan juga para peniaga untuk mendapatkan sijil halal amat-amat mendapat sambutan yang baik,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan sijil halal kepada kedai makan Sambal House Satok pada Selasa.
Beliau yang mewakili Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha menyempurnakan simbolik penyerahan sijil halal berkenaan yang turut dihadir Konsultan Pensijilan Halal dari Universiti Teknologi Mara.
Ustaz Ramzen menambah, pensijilan halal bukan sahaja menjamin pematuhan syariah dalam penyediaan makanan, malah mencerminkan tahap kebersihan, kualiti serta kepercayaan pengguna terhadap premis perniagaan makanan.
Dalam pada itu, Ustaz Ramzen turut mengingatkan para pemegang sijil halal agar sentiasa peka terhadap tempoh sah sijil masing-masing bagi mengelakkan keperluan untuk memohon semula.
“Bagi sijil halal yang akan tamat tempoh, pihak kami akan memberi peringatan enam bulan sebelum tarikh tamat. Jika mereka memperbaharui sijil dalam tempoh enam bulan atau sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum tamat, maka proses yang perlu dibuat hanyalah pembaharuan,” jelasnya.
Namun katanya, sekiranya sijil halal telah tamat tempoh, pemegang sijil perlu mengemukakan permohonan baharu sepenuhnya.
“Jika sijil halal telah tamat tempoh, mereka perlu memohon semula seolah-olah tidak pernah mempunyai sijil halal sebelum ini,” katanya lagi.- EDISI UKAS