APACE 2026 Perkukuh Sarawak Sebagai Hab Aeroangkasa Borneo
KUCHING: Persidangan dan Pameran Aeroangkasa Asia Pasifik (APACE) 2026 dilihat sebagai pemangkin utama dalam memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab aeroangkasa serantau, melalui penglibatan pemain industri antarabangsa, pendidikan dan agensi pembangunan aeroangkasa negara.
Pengarah Hypercoat Enterprises, Rajendra D. Patel berkata pertumbuhan pelaburan serantau dalam industri penerbangan Sarawak yang dipacu kepimpinan Premier Sarawak memberi isyarat positif terhadap masa depan industri aeroangkasa di negeri ini.
“Industri ini bukan sekadar kerja membaiki pesawat, tetapi melibatkan teknologi canggih, kecerdasan buatan (AI), reka bentuk serta inovasi digital.
“Ini merupakan peluang besar kepada golongan muda untuk diterokai,” katanya ketika ditemui semasa hari pertama persidangan tersebut di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Selasa.
Tambah beliau, industri penerbangan global kini sedang berkembang pesat namun berdepan kekurangan tenaga kerja mahir, sekali gus membuka peluang kepada institusi pendidikan tempatan untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional dalam bidang kejuruteraan dan perkhidmatan teknikal penerbangan.
Sementara itu, Profesor dan Ketua Kumpulan Penyelidikan AquES (Sains Penyelidikan Akuatik dan Alam Sekitar) Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Professor Dr. Moritz Müller menyifatkan Sarawak sebagai pusat kepada ledakan industri baharu di Asia, didorong oleh kemasukan teknologi dan kerjasama antarabangsa.
“Kami membangunkan ‘digital twin’ Sarawak untuk memantau ekosistem seperti kualiti air, penggunaan tanah, kitaran karbon dan akuakultur.
“Ini membuka peluang kerjasama antara industri aeroangkasa, teknologi dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama tersebut berpotensi mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai peneraju dalam penggunaan teknologi angkasa lepas bagi pemantauan alam sekitar dan pembangunan mampan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara Malaysia (NAICO), Ts. Shamsul Kamar Abu Samah berkata APACE mampu menjadi platform strategik dalam membangunkan Sarawak sebagai hab aeroangkasa bagi rantau Borneo dan Asia Pasifik.
“Selain pembangunan ekosistem, pembangunan bakat berkemahiran tinggi merupakan elemen utama. Sarawak berpotensi menjadi pemangkin dalam melahirkan tenaga kerja aeroangkasa bukan sahaja untuk negeri ini, malah untuk rantau ini,” ujarnya.
Tambah beliau, pensijilan dan kelayakan dalam industri aeroangkasa membolehkan tenaga kerja tempatan berkhidmat di peringkat global serta meningkatkan daya saing Sarawak di arena antarabangsa.
APACE 2026 yang berlangsung selama tiga hari bukan sekadar platform pameran dan persidangan, malah sebagai medan strategik yang menyatukan industri, akademia dan kerajaan dalam membina ekosistem aeroangkasa yang mampan dan berdaya saing.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira
Foto: Lonney Jinab Doris