Sarawak Pertimbang Guna Platform CubeSats, Tumpu Teknologi Satelit
KUCHING: Sarawak sedang menilai secara strategik keseluruhan spektrum teknologi angkasa, termasuk pelaksanaan praktikal sistem satelit kecil, khususnya platform CubeSats yang mampu mengurangkan risiko kewangan kepada negeri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kos satelit konvensional adalah antara 100 hingga 300 juta euro yang memerlukan lima hingga 15 tahun untuk dibangunkan berbanding CubeSats yang berharga kurang daripada 500,000 euro dengan hanya memerlukan kurang tempoh setahun untuk dibangunkan.
Menurutnya, pendekatan ini bersifat praktikal kepada Sarawak yang memberi tumpuan kepada teknologi satelit, penggunaan data dan aplikasi hiliran yang menyokong pengurusan hutan dan aset, pertanian, kesiapsiagaan bencana serta pemantauan maritim, sambil memberikan manfaat nyata kepada rakyat.
"Bagi Sarawak, ini merupakan satu keperluan strategik di mana geografi unik kita seperti hutan hujan, sungai dan garis pantai yang panjang bukan sekadar cabaran untuk dipantau, malah menjadi makmal hidup terbesar bagi menguji, mengesahkan dan menyempurnakan generasi seterusnya penyelesaian berasaskan teknologi angkasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Asia Pacific Aerospace Conference & Exhibition (APACE) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.
Dalam pada itu ketika ditemui pemberita, Premier Sarawak menjelaskan, pendekatan ini akan digunakan untuk persekitaran dan tanah di Sarawak termasuk menjadi sebahagian cara mengawal banjir.
Jelasnya, satelit ini mampu mengambil karakter tanah seperti paya bakau dan aliran air bagi mendapatkan data tepat bagi membina kolam tadahan air di kawasan terjejas banjir.
Justeru katanya, kerajaan akan menilai implikasi kos serta perkara teknikal mengenai CubeSats yang perlu diteliti dengan baik.
Tegas beliau, hal ini terutamanya melibatkan jangka hayat CubeSats yang hanya bertahan empat ke lima tahun sahaja.
"Persoalannya sekarang ialah sistem ini mempunyai jangka hayat antara empat hingga lima tahun dan selepas itu perlu diganti semula.
"Ini bermakna setiap lima tahun, kita perlu melancarkan lagi kepada yang baharu kerana sistem ini memang mempunyai jangka hayat tertentu.
"Pada ketika itu, satelit tersebut akan terapung di angkasa, dan kita akan melancarkan satelit yang baharu supaya perkhidmatan dapat diteruskan," jelasnya.
Tambahnya lagi, ia tidak akan dilancarkan dengan segera memandangkan teknologi memerlukan tenaga kerja mahir.
Sehubungan itu, kerajaan negeri katanya akan melakukan perkara satu per satu dengan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi terlebih dahulu melalui Fakulti Aeroangkasa Kolej Universiti i-CATS dengan kerjasama Tsinghua University dan Instanbul Technical University.
Jelasnya, keperluan tenaga kerja memerlukan sekurang-kurangnya 30,000 juruteknik satelit.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Penasihat Borneo Business Connect Sdn Bhd Jeneral (B) Tan Sri Dato Sri Affendi Buang, Ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Rais Sanusi